Satu pertiga dari keseluruhan jumlah penduduk Malaysia sedang menggunakan telefon pintar rosak menurut satu kaji selidik yang dijalankan oleh Otterbox, syarikat pengeluar aksesori cengkerang telefon bimbit yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Kajian tersebut turut meletakkan Malaysia sebagai negara kedua tertinggi dengan jumlah pengguna yang menggunakan telefon pintar rosak di kalangan negara-negara di rantau Asia Pasifik.
Turut didedahkan 75 peratus pengguna telefon pintar di kalangan rakyat Malaysia telah merosakkan telefon pintar sebanyak 2.8 kali dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini. Antara kerosakan-kerosakan yang kerap dialami oleh sesetengah pengguna telefon pintar di Malaysia adalah skrin bercalar, skrin retak dan telefon masuk air.
Walaupun mencatatkan jumlah pengguna telefon pintar rosak yang tinggi, kebanyakan pengguna telefon pintar di Malaysia tahu cara untuk melindungi telefon pintar masing-masing dari kerosakan.
Kemerosotan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup membuatkan pengguna-pengguna Malaysia sukar untuk menggantikan telefon pintar mereka yang rosak dengan baru. Tambahan pula, kos untuk membaiki kerosakan fizikal telefon pintar sesetengahnya mampu mencecah sehingga separuh dari kos untuk membeli telefon pintar model baru. Kebanyakan pengguna cenderung untuk kekal menggunakan telefon pintar yang rosak sikit-sikit asalkan ianya masih lagi boleh berfungsi seperti biasa.
Kaji selidik yang bertajuk The State of Our Smartphones turut mendedahkan tabiat kerap memeriksa telefon pintar di kalangan rakyat Malaysia meningkatkan risiko untuk rosak seperti terlepas dari genggaman.
-Sumber berita diperoleh dari The Malay Mail
nak beli baru pun dah kena cukai 🙂