TECNO Malaysia telah mengacah pelancaran telefon pintar baharunya di pasaran tempatan tidak lama lagi, TECNO POVA 5. Diumumkan menerusi laman Facebook rasminya, satu poster berkenaan POVA 5 telah dikongsikan dengan perkataan “Coming Soon” tertera di dalamnya.
Tiada sebarang tarikh dinyatakan di dalam poster pengumuman tersebut. Telefon pintar TECNO POVA 5 telah pun dilancarkan di beberapa pasaran lain selain dari Malaysia. Oleh itu, kita boleh mendapat gambaran sedikit sebanyak mengenainya.
Ia dijangka akan menampilkan skrin paparan LCD IPS 120Hz 6.78-inci beresolusi 1080 x 2460 piksel. Turut disediakan sebuah kamera hadapan 8MP yang ditempatkan pada bahagian berpenebuk lubang pada sebelah atas paparannya. Dalam pada masa yang sama, di belakangnya pula disediakan sebuah kamera utama 50MP dan sebuah kamera berkedalaman dengan dwi-flash LED.
Telefon pintar ini dikuasakan oleh pemprosesan MediaTek Helio G99 yang digandingkan dengan RAM 8GB dan storan sehingga 256GB. Baterinya pula berkapasiti 6,000mAh yang turut menyokong pengecasan 45W.
Tidak diketahui sama ada spesifikasi yang sama akan hadir pada TECNO POVA 5 versi pasaran Malaysia kelak. Justeru itu, kita nantikan kehadiran rasminya untuk mengetahuinya.