Webcam anda boleh digodam melalui pelbagai cara dan untuk itu adalah amat penting untuk anda mengetahui tanda-tanda webcam anda telah digodam. Sesetengah penggodam mengambil kesempatan melalui webcam yang digodam untuk tujuan buruk seperti menceroboh privasi dan juga untuk membuat ugutan.
Selain dari cara menutup kamera web anda dengan pita pelekat dan sebagainya, anda juga boleh mengesan dengan cara berikut:
Isi Kandungan
LED yang berkelip
Salah satu tanda webcam anda telah digodam adalah lampu LED padanya berkelip menandakan yang ianya sedang digunakan. Anda perlu mencari apakah punca ianya dihidupkan. Berkemungkinan aplikasi-aplikasi yang dipasangkan pada komputer anda atau pemalam pada pelayar web.
Antara cara untuk membuat semakan adalah dengan menutup aplikasi-aplikasi yang dijalankan satu-per-satu, termasuk pelayar web dan juga aplikasi-aplikasi latar. Jika lampu LED webcam anda didapati telah terpadam, anda mungkin dapat mengagak dari mana datangnya punca tersebut.
Jika lampu LED terpadam selepas anda menutup pelayar web, mungkin terdapat pemalam-pemalam yang dipasang menjadi puncanya. Periksa pemalam-pemalam tersebut satu-per-satu dan kenalpasti puncanya.
Mesej ralat apabila anda cuba menghidupkan Fungsi Webcam
Apabila anda cuba melancarkan webcam dan tertera mesej ralat yang menyatakan anda sudah pun menghidupkan web, walaupun anda langsung tidak menggunakan apa-apa aplikasi yang menggunakan webcam, ini mungkin tanda kamera web anda sudah digodam.
Untuk komputer Windows, anda boleh membuka Task Manager untuk membuat semakan berkenaan dan untuk Linux atau MacOS, semakan boleh dibuat melalui System Monitor. Anda boleh cuba menutup aplikasi-aplikasi yang anda rasakan sedang menggunakan satu-per-satu. Atau jika gagal untuk menutupnya, anda boleh lakukan Force quit/End task padanya. Jika perisian berkenaan dirasakan tidak perlu untuk digunakan, anda boleh menyahpasangnya.
Jika menyahpasang program yang didapati menggunakan webcam berkenaan masih lagi menyebabkan ralat webcam tersebut muncul, anda mungkin perlu membuat imbasan dengan perisian antivirus.
Webcam bergerak sendiri
Sesetengah model kamera web boleh diputarkan ke arah tertentu serta melakukan zoom melalui lensanya. Jika anda mendapati kamera web anda bergerak sendiri tanpa disuruh, memang jelas ianya sedang dikawal dari jarak jauh oleh penggodam.
Cari fail-fail yang bukan anda ciptakan
Apabila anda mendapati terdapat fail-fail audio atau video rakaman yang anda rasakan bukan diciptakan oleh anda atau pengguna-pengguna lain komputer anda, mungkin ianya disebabkan oleh penggodam.
Bagaimana untuk mencegah dari ancaman penggodam di masa akan datang
Cara terbaik untuk mencegah privasi anda dirakamkan oleh penggodam melalui webcam anda adalah dengan menampalkannya dengan pita pelekat. Melalui cara ini, jika anda digodam sekalipun, tiada apa yang dapat dirakamkan oleh penggodam.
Selain itu, anda boleh menetapkan jadual imbasan perisian antivirus pada komputer anda secara berkala. Hati-hati dengan pautan-pautan yang diterima menerusi emel-emel yang dicurigai dan dari pihak yang tidak dikenali. Adalah lebih baik anda memadamkannya dari anda mendapat risiko keselamatan digital.