Utama Telco Starlink Starlink akan menyokong sambungan Internet kepada Pertubuhan Bantuan yang diiktiraf Antarabangsa di...

Starlink akan menyokong sambungan Internet kepada Pertubuhan Bantuan yang diiktiraf Antarabangsa di Gaza -Elon Musk

200
0

Starlink akan menyokong sambungan Internet kepada pertubuhan yang diiktiraf antarabangsa di Gaza, menurut Pengasas, Pengerusi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Teknologi SpaceX, Elon Musk hari ini.

Beliau memberikan maklumbalas tersebut berdasarkan ciapan oleh Ahli Kongress Amerika Syarikat yang mewakili New York Alexandria Ocasio-Cortez (AOC) berhubung kenyataan beliau membidas tindakan serangan tentera Zionis Israel yang memusnahkan infrastruktur komunikasi di Semenanjung Gaza.

“Memutuskan kesemua talian komunikasi untuk 2.2 juta penduduk adalah sesuatu yang tidak patut diterima. Wartawan, profesional perubatan, bantuan kemanusiaan dan orang tidak bersalah semua dalam bahaya,” ujar AOC di dalam ciapan tersebut. “Saya tidak tahu bagaimana tindakan tersebut boleh dipertahankan. Amerika Syarikat dalam sejarah mengutuk tindakan tersebut,”

Ciapan tersebut seterusnya dibalas oleh Elon Musk, “Starlink akan menyokong sambungan kepada pertubuhan bantuan yang diiktiraf antarabangsa di Gaza,”

Starlink merupakan rangkaian satelit yang dibangunkan oleh syarikat penerbangan angkasa Elon Musk, SpaceX bagi menyediakan talian internet berkos rendah di kawasan-kawasan terpencil. Satelit-satelit Starlink mempunyai jangka hayat kira-kira lima tahun dan SpaceX mensasarkan untuk mengorbitkan sejumlah 42,000 buah satelit bagi membentuk gugusan satelit untuk menyediakan rangkaian tersebut.

Akses rangkaian internet dan telefon telah terputus di seluruh Semenanjung Gaza sejak serangan Jumaat lalu berikutan serangan pengeboman oleh tentera Zionis Israel di wilayah Palestin berkenaan.

Pertubuhan Bulan Sabit Merah Palestin menyatakan gangguan rangkaian tersebut memberikan kesan terhadap talian kecemasan pusat 101 dan menyukarkan bantuan kecemasan tiba di tempat yang diserang.

Keupayaan sokongan dan keadaan keselamatan kakitangan pertubuhan tersebut juga amat dibimbangi dalam keadaan serangan yang bertali arus dari rejim tentera Zionis selagi tiada campur tangan dari badan antarabangsa dunia dalam menghentikan tindakan zalim tersebut.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.