Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama-sama agensi penguatkuasaan antarabangsa telah berjaya melumpuhkan forum jenayah siber global “LeakBase”.

Satu operasi bersepadu telah dijalankan pada 3 dan 4 Mac yang lalu bagi menyekat platform pasaran gelap tersebut. LeakBase didapati aktif menjalankan kegiatan jual beli data secara haram menggunakan perisian melalui aktiviti penggodaman.

Kejayaan operasi ini menyaksikan Bahagian Operasi Khas SPRM melaksanakan waran geledah ke atas sebuah syarikat penyedia pengehosan web (web-hosting) yang berpusat di Kuala Lumpur.

Pemeriksaan forensik siber mendapati forum LeakBase telah menggunakan pelayan (server) di fasiliti tersebut sejak tahun 2021. Hasil serbuan, pelayan tersebut telah disita dan operasi domain berkaitan dengannya di Malaysia telah pun ditutup.

Menurut kenyataan SPRM, LeakBase memiliki sejumlah besar akaun yang telah dikompromi. Ini termasuk kombinasi e-mel dan kata laluan yang sering digunakan untuk pengambilalihan akaun, penipuan, dan pelbagai aktiviti haram dalam talian yang lain.

Berdasarkan siasatan berikut ringkasan hasil dari serbuan yang telah dijalankan:

  • Mempunyai lebih daripada 142,000 ahli berdaftar dan merekodkan lebih 215,000 mesej komunikasi.
  • Menjadi lokasi arkib utama bagi pangkalan data yang digodam daripada pelbagai insiden pencerobohan siber berprofil tinggi.
  • Memperdagangkan pelbagai maklumat terperingkat termasuk nombor kad kredit dan debit, serta butiran perbankan.
  • Mengandungi data sensitif seperti nama pengguna, kata laluan, serta maklumat peribadi dan korporat.

Tindakan membanteras ini merupakan sebahagian daripada operasi global berskala besar yang diselaraskan oleh Europol di The Hague.

Usaha ini melibatkan pelbagai agensi persekutuan utama termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (US DOJ), dan penguat kuasa dari negara seperti Jerman, Sepanyol, Belgium, Poland, Portugal, Australia, Kosovo, serta Scotland.

Di peringkat antarabangsa, pihak berkuasa AS turut merampas dua domain forum LeakBase dengan salah satu daripadanya dihoskan di Kuala Lumpur. Pihak berkuasa turut meletakkan paparan notis amaran rasmi kepada semua ahli forum tersebut di dalam domain berkenaan.

Tinggalkan komentar