Dakwaan perkhidmatan penstriman muzik seperti Spotify mampu mengurangkan aktiviti cetak rompak sering kali kedengaran. Namun, dakwaan tersebut tidak pernah lagi disertakan bersama bukti kukuh yang dapat menyokong dakwaan berkenaan.
Oleh yang demikian, Joint Research Centre yang dikelolakan di bawah European Commission telah dapat menemukan bukti bahawa Spotify sememangnya mampu mengurangkan aktiviti perkongsian fail secara cetak rompak. Pun begitu, kesan sampingan Spotify bukan sahaja mengurangkan cetak rompak. Pada masa yang sama ia mengurangkan jumlah jualan lagu-lagu yang sah secara keseluruhan.
Penyelidik Luis Aguiar dan Joel Waldfogel mengkaji statistik mingguan torrent membuat perbandingan dengan data dari Spotify. Lebih dari 8,000 artis dipantau dibawah kajian yang berjalan dalam tempoh 2012 hingga 2013.
Hasil keputusan mendapati setiap 47 aktiviti penstriman lagu di Spotify, jumlah fail yang dikongsikan secara cetak rompak akan kurang 1. Walaupun nisbah ini kelihatan kecil, namun apabila dibandingkan jumlah penstriman lagu di Spotify yang mencecah jutaan lagu setiap hari, sudah pasti ia memberikan kesan yang besar terhadap aktiviti cetak rompak di seluruh dunia.
Jumlah penstriman ini turut memberikan kesan terhadap hasil jualan muzik digital. Para penyelidik mendapati setiap 137 penstriman Spotify akan mengurangkan 1 jualan single muzik digital.
Bagaimanapun, ini bukan satu masalah buat industri muzik memandangkan jumlah bayaran yang dikembalikan oleh Spotify kepada pihak industri sedikit sebanyak telah mengatasi jumlah kerugian kasar hasil jualan muzik mereka.
Apa pun, kajian ini telah menguatkan lagi hujah kebanyakan pengguna tentang cetak rompak. Cetak rompak dilakukan bukanlah sekadar ingin ‘mencuri’ harta intelek, ia dilakukan kerana ia merupakan cara yang mudah untuk pengguna mendapat akses ke kandungan tersebut.
Perkara yang hampir serupa turut berlaku pada tontonan rancangan atas talian seperti Tonton, Netflix etc dan juga terhadap permainan video seperti Steam. Oleh itu, apa yang terjadi pada industri muzik sememangnya sudah dijangka.
-Sumber berita diperoleh dari Torrent Freak













