Windows 10 bakal hadir ke seluruh platform tidak lama lagi dan pada masa yang sama, tidak banyak yang diperkatakan mengenai perkakasan yang diperlukan untuk membolehkannya beroperasi pada peranti-peranti mudah alihnya sehinggalah kini.
Microsoft hari ini telah mengumumkan secara terperinci spesifikasi yang diperlukan pada Windows Phone untuk membolehkan sistem operasi terbaru ini digunakan. Peranti-peranti mudah alih yang layak untuk menjalankan sistem operasi Windows 10 ini perlu sekurang-kurangnya memiliki resolusi 800 x 480, RAM sekurang-kurangnya 512 MB, storan minima 4GB dan kamera belakang sekurang-kurangnya VGA. Untuk pemprosesannya pula, ia menyokong pemprosesan ARM 32 bit atau jenis pemprosesan SoC x86.
Pengumuman ini agak mengejutkan sesetengah pihak kerana ramai yang menjangkakan spesifikasi lebih tinggi diperlukan untuk membolehkan Windows 10 beroperasi pada peranti mudah alih.
Berita ini tentu memberikan khabar gembira buat pengguna Windows Phone sedia ada memandangkan penaik tarafan ini tidak memerlukan pengguna untuk menukar peranti. Hal ini kerana spesifikasi minimum yang diperuntukkan mengoperasikan Windows 10 adalah sangat optimum untuk kebanyakan spesifikasi Windows Phone yang sedia ada hari ini.
Sistem operasi Windows 10 versi mudah alih bakal hadir menemui pengguna pada 29 Julai 2015 nanti.
-Sumber berita diperoleh dari Windows Central