Utama Telco Astro sooka TV Stick secara rasminya dilancarkan; Harga bermula dari RM349

sooka TV Stick secara rasminya dilancarkan; Harga bermula dari RM349

61
0

Astro baru-baru ini telah melancarkan sooka TV Stick baharu yang mula dijual pada 11 Jun 2024 kepada pelanggan baharu dan sedia ada untuk menikmati kandungan sooka kegemaran anda menerusi skrin televisyen.

sooka TV Stick baharu ini dikuasakan oleh Android TV dan menyokong penstriman kandungan sehingga 4K dan juga audio Dolby Atmos. Penggunaannya hanya memerlukan ia dipasangkan pada TV melalui port HDMI dan juga sambungan internet.

Secara asasnya, peranti mempunyai ciri yang hampir sama dengan dongle Android TV lain dengan sokongan akses kepada Voice Assistant dan Google Play Store. Peranti ini juga menyokong sejumlah aplikasi Android termasuk platform penstriman pihak ketiga seperti Disney+. Bagaimanapun, sokongan untuk Netflix tidak dapat disediakan atas kekangan “sumber teknologi.”

Antaramuka peranti ini secara asasnya merupakan Android TV yang diubahsuai mengikut keperluan penawaran perkhidmatan sooka. Bersama-sama dengan dongle ini juga di datangkan bersama alat kawalan jauh Bluetooth yang menampilkan keupayaan pengecaman suara.

Harga sooka TV Stick

sooka TV Stick dijual pada harga RM349 dengan menawarkan akses premium selama satu bulan, 24 saluran TV percuma, kandungan On Demand terpilih dan akses Disney+ Hotstar selama 3 bulan.

Turut disediakan Pelan Premium berkas untuk 12 bulan pada harga RM579 yang menawarkan dongle tanpa penambahan kos dengan akses kepada Disney+ Hotstar selama 3 bulan. Pelan ini juga menawarkan pilihan ansuran sebanyak RM50 kepada pelanggan yang berminat.

Astro turut menyatakan pelanggan-pelanggan yang membuat pembelian sooka TV Stick tidak akan terikat dengan kontrak. Pengguna juga boleh terus menikmati saluran-saluran percuma yang disediakan menerusi peranti tersebut walaupun tidak melanggan sooka atau mana-mana pakej Astro.

Dongle TV daripada sooka ini kini boleh didapati menerusi laman web rasmi sooka dan menurut Astro dongle ini juga kelak akan dijual melalui pengedar-pengedar yang sah di seluruh negara tidak lama lagi.

Bagi pengguna sedia ada, halaman soalan-soalan lazim sooka menyatakan pembelian dongle ini hanya ditawarkan kepada pengguna yang membuat langganan menerusi laman web rasminya. Bagi pengguna yang menggunakan aplikasi mudah alih seperti Apple App Store atau Google Play Store, anda perlu membatalkan langganan tersebut terlebih dahulu dan melanggannya menerusi laman web Sooka jika ingin mendapatkan dongle TV tersebut.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.