Telefon pintar dengan resolusi sensor kamera yang besar tidak semestinya menghasilkan kualiti foto yang bagus. Ia lebih mudah dihasilkan jika saiz sensor itu sendiri yang besar sebagaimana yang mungkin akan dilakukan oleh Sony Xperia Pro-I II.
Menurut sumahodigest, gambar rajah skematik mencadangkan Sony Xperia Pro-I-II mungkin akan hadir bukan dengan hanya satu sensor 1-inci, sebaliknya akan hadir dengan dua sensor kamera 1-inci.
Ia juga dijangka akan mempunyai satu sensor berkedalaman 3D ToF di bawah kedua-dua sensor besar tersebut. Sebagai perbandingan, Xperia Pro-I hanya mempunyai satu kamera 1-inci. Namun mempunya dua kamera 12MP dengan sensor yang lebih kecil, masing-masing 1/2.9-inci dan 1/2.55-inci.
Tiada perincian mengenai spesifikasi telefon pintar ini yang dikongsikan setakat ini. Terdapat ura-ura yang menyatakan telefon pintar ini akan menggunakan transistor dua lapis untuk sensornya. Tujuan ia digunakan adalah bagi menghasilkan foto yang mempunya julat dinamik yang lebih luas dan mengurangkan hingar dalam keadaan kurang pencahayaan.
Semua maklumat ini bagaimanapun masih lagi sekadar desas-desus dan belum dapat disahkan selagi tiada kenyataan rasmi dari pihak Sony.