Utama Android Sony Sony Xperia 1 IV kini dilancarkan; Tampilkan Zum Optikal Sebenar 85-125mm

Sony Xperia 1 IV kini dilancarkan; Tampilkan Zum Optikal Sebenar 85-125mm

724
0

Sony secara rasminya memperkenalkan telefon pintar mercu baharunya, Xperia 1 IV. Telefon ini padat dengan segala apa yang sepatutnya ditawarkan oleh sesebuah telefon pintar mercu yang setanding dengan harganya.

Antara yang mencuri tumpuan, Sony Xperia 1 IV merupakan telefon pintar pertama yang menawarkan zum optikal 85-125mm yang sebenar. Melalui tetapan tri-kameranya, kamera tersebut diapit dengan dua buah kamera lagi iaitu kamera bersudut lebar 24mm dan kamera bersudut ultra lebar 16mm.

Ketiga-tiga kamera berkenaan menampilkan sensor “Exmor RS for mobile” 12MP dengan kesemuanya mampu merakamkan video pada 120fps, 4K HDR dengan mata autofokus dan penjejakan masa nyata.

Kamera-kamera ini juga mampu mengambil imej berletusan (burst) pada 20fps. Turut disediakan lapisan ZEISS T disediakan bagi kesemua kamera-kamera ini. Tidak ketinggalan, kamera hadapannya 20MP juga mampu merakamkan video pada 4K HDR.

Selain penambahbaikan pada perkakasan kameranya, Sony turut memperkenalkan pembaharuan pada perisian fotografinya melalui Videography Pro. Tidak dapat dipastikan sama ada ia merupakan versi yang sama atau versi yang disesuaikan seperti terdapat pada Xperia Pro-I.

Perisian lain yang turut menerima penambahbaikan adalah Music Pro baharu. Menurut Sony, perisian ini mampu memberikan para penggubah muzik kualiti rakaman hampir menyamai kualiti studio. Pun begitu, fungsi berkenaan akan melibatkan pemprosesan secara awanan dan memerlukan pengguna melanggan untuk mendapatkannya.

Sony juga menambahbaik pengalaman permainan mudah alih Xperia 1 IV dengan bukan sekadar memberikan paparan 6.5-inci 21:9 4K HDR dengan kadar penyegaran semula 120Hz, malah turut memberikan kadar imbasan sentuhan 240. Juga disediakan perisian Game Enhancer yang memberikan pelbagai ciri khusus memudahkan pengguna melakukan penstriman secara langsung.

Selain itu, telefon yang menggunakan Snapdragon 8 Gen 1 ini juga menyediakan RAM 12GB dan storan 256GB bersama-sama bateri berkapasiti 5,000mAh. Seperti kebanyakan telefon-telefon pintar mercu lain, Xperia 1 IV juga mempunyai penarafan IP65/68.

Sebelum ini kebiasannya siri Xperia menumpukan perhatian pada fotografinya, namun untuk Xperia 1 IV pula, ia dilihat cuba melakukan hampir apa sahaja.

Setakat ini Xperia 1 IV tidak mengumumkan harga bagi pasaran tempatannya. Namun berdasarkan harga yang diperkenalkan pada pelancaran rasminya, Xperia 1 IV dijual pada harga US$1599.99 (~RM7006). Menurut Sony Malaysia, Xperia 1 IV akan berada di pasaran tempatan pada awal Julai ini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.