Pengumuman jalinan kerjasama antaran Sony dan Microsoft mengejutkan ramai pihak di dalam industri. Bahagian PlayStation di dalam Sony, pun tidak dimaklumkan tentang perkara ini lebih awal dan mengetahui mengenainya di saat-saat akhir.
Minggu lalu, kedua-dua pihak, Sony dan Microsoft telah bersetuju untuk bekerjasama membangunkan permainan awanan di masa depan serta meningkatkan keupayaan kecerdasan buatan (A.I.) berdasarkan platform awanan Microsoft Azure. Jalinan kerjasama berkenaan turut melibatkan pemindahan teknologi penderia imej Sony untuk digunakan pada A.I. Microsoft Azure.
Reaksi dari bahagian PlayStation Sony sudah dijangkakan memandangkan hampir dua dekad pengeluar konsol dari Jepun ini bersaing dengan Xbox dalam pasaran konsol permainan video.
Oleh yang demikian, perkembangan ini pastinya di luar jangkauan masing-masing dan beberapa kakitangan menyuarakan keprihatinan terhadap masa depan mereka dalam syarikat berdasarkan kerjasama terbaru ini. Sebagai rujukan, bahagian konsol Sony merupakan bahagian yang bertanggungjawab membawa lebih daripada satu pertiga daripada jumlah pendapatan syarikat. Disebabkan itu, ramai yang berpendapat perlunya Sony membincangkan perkara ini secara dalaman dengan bahagian konsol mereka terlebih dahulu.
Dari sudut lain, perjanjian ini dilihat sebagai satu keperluan, terutamanya jika bahagian PlayStation Sony ingin terus berkembang. Salah satunya, perkongsian ini membolehkan Sony mendapat akses ke platform awanan Azure yang sedang berkembang. Selama ini Sony menghabiskan masa bertahun-tahun untuk membangunkan platform permainan awanan mereka sendiri melalui PlayStation Now dengan hasil yang kurang memberangsangkan.
Permainan awanan kini diangkat sebagai langkah seterusnya dalam evolusi permainan. Faktor yang membantu merealisasikan evolusi ini adalah peningkatan mutu perkhidmatan internet dan perkhidmatan penstriman berkelajuan ultra tinggi. GameStream NVIDIA, SteamLink Valve, dan sebagainya merupakan contoh ke arah peraliahn evolusi berkenaan. Malah, Google pun turut serta dengan mengumumkan perkhidmatan permainan awanannya sendiri, Stadia pada bulan Mac baru-baru ini.
Apa pun, kedua-dua syarikat ini masing-masing masih lagi menawarkan konsol permainan PlayStation dan Xbox untuk pasaran. Walau bagaimanapun, hanya masa yang dapat menentukan apa yang bakal berlaku hasil dari kerjasama ini.
Sumber berita diperoleh dari Bloomberg