Sesetengah peminat permainan konsol mudah alih mungkin sudah mengetahui bahawa jangka hayat Sony PlayStation Vita di pasaran mungkin sudah tidak berapa lama sahaja lagi. Kini, secara rasminya telah menamatkan pengeluaran dua model terakhir Sony PlayStation Vita.

Langkah ini menandakan kesudahan penamatan secara berperingkat yang mana sebelum ini turut melibatkan pemberhentian pengeluaran permainan PS Vita dari pihak pertama pada tahun 2015 yang lalu.

Bagi anda yang ingin mendapatkan permainan mudah alih ini, buat masa ini tidak banyak penjual yang masih menawarkannya. Atau mungkin boleh mendapatkan secara second-hand dari pemilik-pemilik yang terdahulu.

Sungguhpun tempoh masa Vita di pasaran agak panjang, tapi ianya tidak memberi makna ianya mendapat sambutan yang baik secara amnya. Dilancarkan di Jepun pada Disember 2011, betul-betul ketika permainan telefon pintar dan tablet mula semakin bagus – Sony cuba memasuki pasaran sewaktu pengguna sudah mula berasa selesa bermain permainan kasual pada telefon pintar atau tablet masing-masing.

Sony PlayStation Vita pernah menawarkan judul-judul permainan bermutu seperti Severed. Namun, disebabkan jualannya yang kurang memberangsangkan membuatkan tidak banyak pembangun yang berminat membangunkan judul khusus untuk konsol permainan mudah alih dari Sony ini. Ditambah pula dengan rungutan dari pengguna berkenaan kebergantungannya dengan aksesori yang mahal seperti kad memori dan juga saingan sengit dari Nintendo.

Pihak Sony tidak merancang untuk mengeluarkan peranti yang meneruskan kesinambungan Vita. Hal ini disebabkan oleh keadaan gaya hidup pengguna masa kini yang majoritinya lebih gemar bermain permainan mudah alih melalui telefon pintar atau tablet masing-masing yang kini mempunyai kualiti grafik yang baik.

Sumber berita diperoleh dari Polygon

Tinggalkan komentar