Utama Komputer Permainan Sony dan Microsoft digesa menyekat Akaun Pengguna dari Russia -TPM Ukraine

Sony dan Microsoft digesa menyekat Akaun Pengguna dari Russia -TPM Ukraine

323
0
Microsoft Xbox Sony PlayStation
Imej dari Phil Barker/Future Publishing melalui Getty Images

Kerajaan Ukraine menggesa Sony dan Microsoft untuk memberikan tekanan terhadap Russia berikutan pendudukannya ke atas Ukraine. Polygon melaporkan, Timbalan Perdana Menteri Mykhailo Fedoro telah meminta gergasi konsol permainan berkenaan untuk menggantung sementara akaun pemain-pemain dari Russia dan Belarus.

Beliau turut meminta penganjur-penganjur eSukan untuk menghalang penyertaan dari Russia dan Belarus. Pemain-pemain dari negara lain juga diminta supaya tidak menyertai mana-mana pertandingan yang dianjurkan oleh kedua-dua negara tersebut.

Tindakan tersebut diharapkan dapat menggalakkan rakyat Russia supaya menghalang tindakan ketenteraan ke atas Ukraine pada ketika ini, menurut beliau lagi. Beliau yakin, penggunaan teknologi merupakan “jawapan terbaik” dalam mendepani jentera serangan ketenteraan Russia.

Buat masa ini, beberapa pembangun permainan berkomputer seperti CD Projekt Red telah menyatakan sokongan terhadp Ukraine. Pembangun judul permainan popular Cyberpunk 2077 ini telah menyumbang sebanyak $232,000 (~RM972,000) untuk bantuan kemanusiaan di negara yang sedang bergolak tersebut.

Tidak dapat dipastikan sama ada Microsoft atau Sony akan mengambil tindakan tersebut. Russia bukanlah pasaran terbesar bagi kedua-dua syarikat berkenaan.

Sony PlayStation 4 misalnya mempunyai kumpulan penggunanya yang terbesar di Eropah dan benua Amerika Utara. Microsoft pula sebelum ini telah pun menyekat media yang dikuasai kerajaan Russia dari platformnya.

Dijangkakan syarikat-syarikat ini akan menyertai Apple dan syarikat teknologi utama lain di dunia dalam memberikan tekanan terhadap Russia. Apple dilaporkan telah menghalang jualan produk dan perkhidmatannya di Russia.

 

 

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.