Pentiris maklumat OnLeaks (juga dikenali sebagai Steve Hemmerstoffer) telah berkongsikan imej pengolokan Galaxy S24 Ultra tidak selepas berkongsikan imej siri Galaxy S24 pada minggu lepas. Sama seperti sebelumnya, beberapa perincian seperti jenis cip, konfigurasi memori dan saiz skrin turut diperkatakan.
Berdasarkan imej pengolokan yang dikongsikan, paparan untuk Galaxy S24 Ultra kelak berkemungkinan menampilkan skrin rata. Berbeza dengan dengan siri sebelumnya yang menggunakan skrin AMOLED melengkung.
Selain dari skrin rata tersebut, lain-lain ciri untuk model berkenaan kelihatan sama seperti siri-siri terdahulu. Antaranya termasuklah kedudukan butang fizikal, integrasi S-Pen dan tatasusunan kamera di belakangnya.
Galaxy S24 Ultra mungkin lebih nipis
Varian Ultra untuk generasi berikutnya ini juga kelihatan lebih nipis berbanding model keluaran tahun ini. Seperti juga imej pengolokan Galaxy S24 model standard sebelum ini, antena Ultra Wide Band (UWB) juga kelihatan pada sisi Galaxy S24 Ultra.
Menurut OnLeaks, paparan Galaxy S24 Ultra mungkin mempunyai bingkai yang lebih nipis disamping mempunyai resolusi QHD+, kadar penyegaran semula 120Hz dan kecerahan puncak 2,200 nits.
Di dalamnya pula, ia mungkin menggunakan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 3. Berkemungkinan juga, telefon pintar ini akan mempunyai RAM sehingga 16GB, storan sehingga 2TB. Kapasiti baterinya pula mungkin tidak akan berubah dengan 5,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 45W melalui USB-C. Boleh jadi, model peringkat tertinggi Galaxy S24 ini mungkin tidak akan menggunakan pemprosesan keluaran Samsung, Exynos.
Dari segi fotografi, telefon pintar ini akan hadir dengan kamera utama melalui sensor baharu ISOCELL HP25X 200MP, kamera berperiskop 50MP dengan zum optikal 5x dan kamera telefoto 10MP dengan zum optikal 3x. Manakala sebelah hadapannya terdapat sebuah kamera 12MP. Lain-lain ciri yang diperkatakan oleh maklumat yang tertiris tersebut termasuklah kerangka titanium, kerintangan air dan debu IP68, dan pengimbas cap jari terbina bawah skrin.
Samsung Galaxy S24 Plus
Seterusnya untuk Galaxy S24 Plus, seperti yang dijangkakan ia mempunyai rekaan yang sama seperti model standard, cuma mempunyai skrin yang lebih besar. Menurut maklumat yang ditiriskan tersebut, telefon pintar berkenaan akan mempunyai skrin rata AMOLED Dynamic 2X 6.7-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz.
Tidak banyak maklumat yang diketahui mengenainya setakat ini. Namun, dikatakan ia akan menggunakan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 3 atau Samsung Exynos 2100, bergantung dengan di mana ia akan dipasarkan.
Dijangkakan lebih banyak maklumat mengenai telefon pintar ini akan muncul di arena web memandangkan tarikh pelancaran rasminya mungkin akan tiba seawal Januari tahun hadapan.