Sistem Pengurusan Pertandingan (CMS) rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilaporkan digodam pada Isnin, 6 Oktober 2025. Penjenayah siber berkenaan menuntut wang tebusan dan mengancam akan memadamkan kesemua pangkalan data dalam tempoh 13 jam jika tuntutan tidak dipenuhi.

Mesej tuntutan tebusan tersebut menyatakan, “Sekiranya anda pemilik domain, klik butang di bawah untuk membuat pembayaran sebanyak AS$7000 (RM29,505). Bagi tujuan keselamatan, jika bayaran tidak dibuat dalam tempoh 13 jam, semua pangkalan data akan dipadam secara automatik.”

CMS merupakan platform dalam talian utama yang menyimpan maklumat kritikal bola sepak negara di bawah pengurusan FAM. Sistem tersebut digunakan bagi menguruskan rekod pemain, statistik perlawanan, pendaftaran pasukan dan dokumen pertandingan.

Sehingga kini, FAM belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai insiden ini. Kenyataan dijangka dikeluarkan sebaik sahaja laporan keselamatan dalaman siap disediakan.

Insiden penggodaman ini berlaku pada waktu yang sukar bagi badan bola sepak negara, yang sedang berhadapan dengan tekanan susulan penggantungan beberapa pemain warisan oleh FIFA dan sekatan ke atas badan itu kerana dakwaan memalsukan dokumen.

Tinggalkan komentar