Utama Android Xiaomi Siri Xiaomi 14 secara rasminya dilancarkan di China

Siri Xiaomi 14 secara rasminya dilancarkan di China

176
0

Xiaomi secara rasminya telah melancarkan siri telefon pintar andalan baharunya Xiaomi 14 di China baru-barunya. Siri telefon pintar berkenaan merupakan yang pertama menggunakan antaramuka HyperOS menggantikan MIUI.

Ia juga menjadi telefon pintar pertama di dunia yang menggunakan cipset andalan generasi berikutnya dari Qualcomm, Snapdragon 8 Gen 3.

Xiaomi 14 Pro

Untuk Xiaomi 14 Pro, model ini hadir dengan skrin AMOLED LTPO 6.73-inci dengan resolusi 1440 x 3200, kadar penyegaran semula 120Hz dan kecerahan puncak 3,000 nits.

Ia juga menawarkan sokongan Dolby Vision, HDR10+, pengimbas cap jari bawah skrin dan dilindungi oleh kaca tahan lasak Xiaomi Longjing Glass. Dari segi audio, telefon ini dilengkapkan dengan pembesar suara stereo Dolby Atmos. Namun, tiada bicu audio 3.5mm disediakan.

Kuasa pemprosesannya dijana oleh cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3. Ia turut didatangkan bersama-sama RAM LPDDR5X 16GB dan storan dalaman sehingga 512GB. Selain itu, Xiaomi 14 Pro menampilkan ketersambungan nirwayar Wi-Fi 7, Bluetooth 5.4 dan NFC, bateri 4,800mAh dengan pengecasan berwayar 120W, nirwayar 50W dan nirwayar berbalik 10W serta kerintangan air dan debu IP68.

Kamera Xiaomi 14 Pro

Pada bahagian belakangnya pula disediakan tri-kamera dengan sentuhan Leica yang mengandungi:

  • Kamera utama baharu 50MP 1/1.31-inch “Light Hunter 900” dengan OIS, aperture boleh laras, lensa Leica Summilux
  • Kamera telefoto terapung 40MP 75mm dengan OIS dan zum optikal sehingga 3.2x
  • Kamera ultra lebar 50MP dengan keupayaan makro 5cm

Di sebelah hadapannya pula disediakan sebuah kamera 32MP.

Menurut Xiaomi, apertur boleh laras yang disediakan berkeupayaan mengubah di antara f/1.42 ke f/4. Manakala rakaman video menggunakan kamera belakangnya menyokong resolusi sehingga 8K pada kadar 24 bingkai per saat (fps).

Xiaomi 14

Model standard Xiaomi 14 menampilkan skrin AMOLED LTPO yang lebih kecil. Namun, masih menawarkan kadar penyegaran semula 120Hz, dan kadar kecerahan puncak 3,000 nits. Bagaimanapun, resolusinya lebih rendah pada 1200 x 2670 piksel.

Sama seperti model Pro, Xiaomi 14 turut didatangkan dengan Dolby Vision dan HDR10+, pengimbas cap jari bawah skrin, pembesar suara Dolby Atmos dan kerintangan air dan debu IP68.

Di dalamnya juga menggunakan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 3 bersama-sama RAM 16GB, dan storan sehingga 512GB. Selain itu, turut disediakan ketersambungan Wi-Fi dwi-jalur, Bluetooth 5.4, dan NFC. Baterinya pula lebih kecil kapasitinya pada 4,610mAh dengan pengecasan berwayar 90W, nirwayar 50W dan nirwayar berbalik 10W.

Seterusnya, pada bahagian belakangnya terdapat tri-kamera Leica yang mengandungi sensor kamera utama 50MP Light Hunter 900 yang sama, namun tiada apertur boleh laras. Melengkapkan trio kamera berkenaan, kamera telefoto 50MP dengan zum optikal 3.2x  dan OIS, serta kmaera ultra lebar 50MP. Sama seperti Pro, varian ini juga menampilkan kamera hadapan 32MP dan sokongan rakaman video sehingga 8K 24p melalui kamera belakangnya.

Harga Xiaomi 14

Di China, Xiaomi 14 Pro ditawarkan pada harga bermula dari CNY4,999 (~RM3,268) dengan pilihan warna Hitam, Perak dan Hijau serta edisi khas Titanium. Untuk model standard pula, harganya bermula dari CNY3,999 (~RM2,614) dan hadir dengan pilihan warna Hitam, Perak, Merah Jambu dan Hijau.

Xiaomi setakat ini masih belum mengumumkan ketersediaan Xiaomi 14 ke pasaran global termasuk Malaysia.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.