Minggu lepas terdapat desas-desus yang mengatakan Xiaomi akan menamatkan penggunaan MIUI dengan menggantikannya dengan antaramuka baharu. Pada ketika itu, antaramuka baharu tersebut mungkin akan dinamakan sebagai MiOS.
Bagaimanapun, pada minggu ini Xiaomi telah mengesahkan kehadiran pengganti kepada antaramuka MIUI setelah 13 tahun ia diperkenalkan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Xiaomi Lei Jun, antaramuka baharu berkenaan akan dikenali sebagai HyperOS dan pertama kali diperkenalkan melalui siri Xioami 14.
So excited about #XiaomiHyperOS, and everything else we've got up our sleeve (or in my hand๐). pic.twitter.com/gPifOLEIhk
— Lei Jun (@leijun) October 17, 2023
Naib Presiden Xiaomi Global Alvin Tse turut menambah antaramuka tidak hanya diperkenalkan untuk pasaran China sahaja, malah akan diperkenalkan ke seluruh dunia juga. HyperOS akan digunakan pada telefon pintar Xiaomi di masa akan datang dan akan menggantikan MIUI secara berperingkat selain turut digunakan pada produk-produk AIoT keluaran Xiaomi.
Menurut Lei Jun lagi, Xiaomi HyperOS merupakan gabungan Android dengan sistem operasi yang dibangunkannya sendiri Xiaomi Vela. Rancangan untuk membangunkan sistem operasi baharu bagi menyatukan kesemua peranti dan aplikasi ke dalam satu ekosistem telah pun dimulakan sejak dari 2017.
Tidak banyak maklumat mengenai HyperOS yang dikongsikan oleh Xiaomi setakat ini. Namun, setidaknya nama sebenar antaramuka berkenaan telah diketahui.