Utama Android Realme Siri realme 15 dilancarkan di India; Hadir dengan Alatan Kamera AI

Siri realme 15 dilancarkan di India; Hadir dengan Alatan Kamera AI

102
0

realme secara rasminya telah mengumumkan siri realme 15 di India. Menampilkan realme 15 5G dan realme 15 Pro 5G, barisan telefon pintar peringkat menengah ini mengetengahkan alatan berkuasa AI baharu dan bateri berkapasiti sebesar 7,000mAh.

Kedua-dua model ini menampilkan paparan OLED 6.8-inci 144Hz beresolusi 1,280 x 2,300 piksel dan kecerahan puncak 6,500 nits. Selain dari itu, telefon-telefon pintar ini juga mempunyai pembesar suara stereo, sensor pengimbas cap jari terbina bawah paparan dan juga penarafan IP69 untuk kerintangan debu dan air.

Untuk model standardnya ia dilengkapkan dengan pemprosesan MediaTek Dimensity 7300+, manakala untuk model Pro pula dilengkapkan dengan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 7 Gen 4. Kedua-dua versi ditawarkan dengan pilihan RAM sehingga 12GB dan storan sehingga 512GB.

Bateri sebesar 7,000mAh

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, telefon pintar ini dikuasakan oleh bateri berkapasiti 7,000mAh yang turut menyokong pengecasan pantas 80W. Dari segi perisiannya, kedua-dua model yang menyokong ketersambungan 5G, Wi-Fi 6 dan Bluetooth 5.4 ini menggunakan Android 15 melalui antaramuka realme UI 6.0.

Kamera kedua-dua model telefon pintar ini bagaimanapun mempunyai sedikit perbezaan antara satu sama lain. realme 15 5G mempunyai kamera utama 50MP dan kamera ultra lebar 8MP. Manakala model Pro pula menampilkan sensor 50MP untuk kedua-dua kamera utama dan ultra-lebarnya. Untuk kamera hadapannya, model standard dan Pro masing-masing mempunyai kamera 50MP.

Ciri AI baharu merupakan sorotan utama siri ini. Paling menonjol adalah AI Edit Genie yang membolehkan pengguna menyunting foto menggunakan arahan suara. Selain dari itu, terdapat juga AI Snap Mode untuk menangkap sehingga 50 syot berkelajuan tinggi dan AI Party Mode untuk menaikkan imej yang diambil pada waktu malam.

Pilihan warna untuk realme 15 5G merangkumi Flowing Silver, Velvet Green, dan Silk Pink. realme 15 Pro 5G juga mempunyai pilihan warna Flowing Silver dan Velvet Green serta satu pilihan warna uniknya Silk Purple. Harga untuk relame 15 5G bermula dari INR25,999 (~RM1,269), manakala realme 15 Pro pula harganya INR31,999 (~RM1,562). Setakat ini tiada sebarang berita mengenai kehadirannya ke pasaran Malaysia.

Tinggalkan komentar