HONOR secara rasminya telah mengesahkan kehadiran siri HONOR 400 keluarannya yang baharu ke global dengan Malaysia dipilih sebagai pasaran pertamanya. Sebagaimana yang diacahkan sebelum ini, barisan baharu ini dipacu oleh AI dan dipasarkan sebagai “pembunuh iPhone”.

Siri ini akan dibarisi oleh tiga buah model dengan model pertamanya sudah pun dilancarkan melalui HONOR 400 Lite. Dua lagi modelnya masih lagi belum diketahui secara rasmi. Namun kemungkinan ia akan hadir sebagai model standard 400 dan model 400 Pro. Maklumat lanjut mengenainya dijangka akan didedahkan pada 8 Mei ini.

Selain daripada imej acah yang menunjukkan kamera daripada salah satu siri baharu berkenaan, HONOR masih belum mendedahkan spesifikasinya secara rasmi. Setakat apa yang diketahui, ia akan memiliki penambahbaikan dari segi kapasiti bateri, kualiti paparan, ketahanan, serta lebih banyak ciri-ciri AI.

Imej pengolokan HONOR 400 yang didakwa tertiris

Pun begitu, beberapa spesifikasi utama kedua-dua model telefon pintar berkenaan dilaporkan telah tertiris.

Jika maklumat tersebut benar-benar belaka, HONOR 400 dijangka akan menampilkan paparan OLED 1.5K 6.55-inci dengan pemprosesan siri Qualcomm Snapdragon 7. Manakala untuk HONOR 400 Pro pula ia dikatakan akan dilengkapkan dengan paparan jenis yang sama, cuma lebih besar pada 6.7-inci dan menggunakan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 3. Kedua-dua model berkenaan akan menampilkan kamera utama 200MP dengan kamera telefoto 50MP pula dikhususkan untuk model Pro.

Tinggalkan komentar