Seagate telah mengesahkan rancangannya untuk melancarkan cakera keras berkapasiti 20TB berasaskan teknologi perpendicular magnetic recording (PMR) selepas pertengahan tahun ini.

Pengumuman dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutfi Seagate Dave Mosley ketika pembentangan pendapatan suku kedua 2021 baru-baru ini.

Teknologi PMR dan teknologi shingled magnetic recording (SMR) merupakan kaedah yang lebih berkos efektif berbanding teknologi heat-assisted magnetic recording (HAMR) yang kini digunakan pada pemacu cakera 20TB semasa.

Seagate kini menggiatkan usaha memperluaskan penawaran pemacu cakera berkapasiti 20 TB ke segmen pasaran lain termasuk pengguna harian. Dijangkakan pemacu cakera 20TB berkenaan akan dibezakan pada teknologi pengeluaran yang digunakannya berdasarkan pengguna sasaran.

Buat masa ini Seagate telah pun menghasilkan pemacu cakera 18TB berasaskan teknologi PMR dalam jumlah yang besar. Malah akan mempertingkatkan lagi pengeluaran 20TB berasaskan PMR untuk dipasarkan pada tempoh selepas pertengahan tahun ini.

Tinggalkan komentar