Program SARA Untuk Semua yang menyediakan bantuan ‘on-off’ sebanyak RM100 melalui MyKad kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas akan mula disalurkan secara automatik bermula 9 Februari 2026.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan ketika sesi soal jawab kementerian di Dewan Rakyat hari ini. Sebanyak RM2.2 bilion telah diperuntkkan untuk agihan ini.

Semakan Kelayakan dan Senarai Barangan Keperluan

Anda boleh menyemak status kelayakan mulai 5 Februari 2026 melalui portal SARA di sara.gov.my. Bantuan yang dikreditkan ini boleh digunakan sehingga 31 Disember 2026 di premis perniagaan terpilih menggunakan MyKad penerima.

Barangan Keperluan yang Layak Dibeli

Menurut portal SARA, bantuan sekali beri RM100 ini boleh digunakan untuk membeli pelbagai barangan keperluan asas termasuk:

  • beras
  • telur
  • roti
  • minyak masak
  • biskut
  • mi segera
  • tepung
  • minuman
  • perencah
  • makanan dalam tin
  • produk penjagaan diri
  • ubat-ubatan yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia
  • Peralatan sekolah
  • produk pembersihan rumah

Latar Belakang Program SARA

SARA merupakan program bantuan tanpa tunai yang diperkenalkan kerajaan untuk mengukuhkan jaring keselamatan sosial Malaysia.

Inisiatif ini kini merangkumi dua komponen iaitu program bantuan bulanan bersasar untuk golongan rentan, dan bantuan sekali beri RM100 untuk semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

Pengagihan kali ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Bajet 2026 pada Oktober tahun lalu.

Kadar Penggunaan Program Terdahulu

Amir Hamzah memaklumkan pada tahun 2025, hampir 5.6 juta penerima SARA bulanan menggunakan MyKad untuk membeli barangan keperluan di premis berdaftar. Kadar penggunaan tersebut bersamaan sebanyak 99% dengan nilai transaksi keseluruhan mencecah RM4.8 bilion daripada RM5 bilion yang diperuntukkan.

Bagi program SARA sekali beri terdahulu pada bulan September, menteri menyatakan lebih daripada 21 juta rakyat Malaysia atau 96% daripada jumlah penerima telah membuat pembelian. Transaksi ini menjana lebih RM2.05 bilion perbelanjaan dalam pasaran tempatan.

Menurut Amir Hamzah, sebanyak RM150 juta daripada bantuan SARA sekali beri yang lalu masih tidak dituntut.

Kerajaan akan mengagihkan semula dana ini kepada kumpulan bersasar termasuk penghuni pusat perlindungan dan pelajar kurang upaya serta berkeperluan khas. Di samping turut melibatkan peranti perubatan bagi pesakit miskin dan penubuhan serta pengukuhan bank makanan pelajar.

Tinggalkan komentar