Samsung telah memutuskan untuk tidak menggunakan lagi aplikasi permesejannya dan akan menggantikannya dengan Google Messages. Memandangkan Samsung sering menerima pelbagai ciri dan fungsi dari Google selepas Pixel, kesemua peranti-peranti baharunya di Amerika Syarikat tidak lagi didatangkan dengan Samsung Messages.
Samsung Messages tidak lagi dimuatkan bersama di dalam Galaxy Z Flip 6, Z Fold 6 dan model-model baharunya. Sebaliknya, ia akan dioperasikan di bawah Google Messsages seperti yang disahkan oleh Max Weinbach di X (dahulu dikenali sebagai Twitter).
Buat masa ini Samsung tidak menyatakan sama ada ia akan dilaksanakan ke peringkat global atau tidak. Menurut Mishaal Rahman dari Android Authority, Galaxy Z Fold 6 versi Amerika Syarikat didatangkan tanpa aplikasi Samsung Messages. Namun masih ditawarkan untuk dimuat turun bagi pengguna yang membeli di Eropah atau Kanada.
Fungsi RCS juga akan diaktifkan secara lalai di dalam aplikasi Google Messages memandangkan ia penting untuk permesejan di dalam telefon pintar Galaxy sejak Galaxy S22 dilancarkan pada 2022.
Buat masa ini aplikasi Samsung Messages masih lagi boleh dimuat turun menerusi Galaxy Store. Namun tidak dapat diketahui sama ada beberapa fungsinya kelak akan dialih keluar di masa hadapan.