Peminat peranti Samsung Galaxy pastinya gembira dengan berita terbaru ini.
Aplikasi Good Lock yang terkenal dengan keupayaan penyesuaian antara muka pengguna (UI) yang mendalam, akan tersedia secara global melalui Google Play Store bermula dengan kemaskini One UI 7. Ini merupakan satu perubahan besar, kerana sebelum ini, aplikasi ini hanya boleh didapati di beberapa negara terpilih sahaja melalui Galaxy Store.
Apa itu Good Lock?
Good Lock merupakan aplikasi yang membolehkan pengguna mengubah suai pelbagai aspek perisian peranti Samsung Galaxy mereka. Ia menawarkan lebih daripada sedozen modul dan pemalam yang membolehkan pengguna mengubah elemen seperti skrin utama, skrin kunci dan papan kekunci. Ia juga digunakan untuk membuka kunci alat eksperimen yang dihadkan oleh sistem operasi.
One UI 7 bukan sahaja memperluaskan ketersediaan Good Lock, tetapi juga menambahbaik aplikasinya. Antara perubahan yang dijangka termasuklah:
- Antara muka pengguna yang direka semula: Antara muka yang lebih baik dan mudah digunakan, dengan fokus pada kelancaran aksesibiliti.
- Penambahbaikan carian dan penapis: Memudahkan pengguna untuk mencari ciri dan aplikasi yang mereka perlukan.
- Tab “My Page”: Membolehkan pengguna menetapkan semula tetapan, menambah widget Good Lock dan mengurus ciri-ciri yang digunakan.
- Integrasi fungsi-fungsi: Beberapa fungsi yang sebelum ini hanya tersedia melalui Good Lock akan diintegrasikan ke dalam One UI 7.
- Ketersediaan di Google Play Store: Selain dari Galaxy Store, pengguna kini boleh memuat turun Good Lock dari Google Play Store. Ini akan memudahkan pengguna yang lebih suka mendapatkan semua aplikasi mereka dari gedung aplikasi lalai Android.
Walaupun tarikh pelancaran rasmi untuk One UI 7 masih belum diumumkan, desas-desus menyatakan ia mungkin akan diumumkan semasa acara Galaxy Unpacked yang dijangka diadakan pada bulan Januari 2025. Ketersediaan umum kemas kini One UI 7 pula dijangka pada pertengahan Februari 2025.