Samsung Galaxy Z Fold 4 dijangka akan diperkenalkan dalam tempoh sebulan dari sekarang. Sebelum ini telefon pintar boleh lipat berkenaan dikatakan akan menampilkan rekaan kamera yang sama seperti Galaxy S22 Ultra. Walaubagaimanapun, laporan terkini menyatakan sebaliknya.
Pentiris maklumat Mr_TechTalkTV mendakwa Galaxy Z Fold 4 akan mengekalkan rekaan kamera seperti Galaxy Z Fold 3 yang dilancarkan pada tahun lepas. Kamera berkenaan menawarkan tiga sensor yang disusun secara selari pada modul yang membonjol.
Sumber berkenaan sebelum ini pernah membuat dakwaan yang tepat. Namun, tidak dapat dipastikan jika maklumat awal mengenai Galaxy Z Fold 4 ini didapati benar kelak. Jika benar, mungkin telefon pintar boleh lipat Samsung baharu berkenaan akan menampilkan sensor 50MP sebagai kamera utama. Sensor berkenaan juga merupakan jenis yang sama digunakan pada Galaxy S22 dan Galaxy S22+.













