Siri Galaxy S23 mencatatkan jualan yang memberangsangkan pada tahun ini dengan angka jualannya melebih jualan siri Galaxy S22 yang dilancarkan pada tahun lepas. Kini, Samsung telah memperkenalkan pula model Fan Edition bagi memberikan pengguna pilihan untuk mendapatkan kelebihan ciri Galaxy S23 pada harga yang lebih kompetitif.
Kali terakhir siri FE ini hadir melalui Galaxy S21 FE yang dilancarkan pada Januari 2022. Untuk Galaxy S22 FE pula ia tidak diperkenalkan kerana masalah kekurangan bekalan cip yang melanda di seluruh dunia pada tahun lepas.
Walaupun kita tidak menjangkakan prestasi dan penawaran Galaxy S23 FE ini ‘terpaling padu’ di kalangan telefon pintar pada tahun ini, setidaknya ia lebih berkuasa berbanding penawaran oleh telefon pintar peringkat menengah seperti Galaxy A54 5G.
Isi Kandungan
Kelebihan dan Kekurangan Galaxy S23 FE
Kelebihan
- Skrin rata Dynamic AMOLED 2X 120Hz
- Rekaan premium rintang air
- Prestasi pantas
- Sokongan naik taraf sehingga empat kali kemaskini Android
- Sokongan 5G, Wi-Fi 6E
Kekurangan
- Bingkai yang agak tebal
- Hasil foto yang dizumkan kurang jitu
Spesifikasi Galaxy S23 FE
Telefon pintar andalan baharu Samsung, Galaxy S23 FE membawakan bersama-sama kuasa dan prestasi pada harga yang lebih mesra pengguna. Bateri yang lebih cekap, kamera yang dioptimasikan dan ketersambungan yang mantap, Galaxy S23 FE mampu memberikan apa yang pengguna mahukan.
- Skrin: Dynamic AMOLED 2X 6.4-inci FHD+, 120Hz
- Pemprosesan: Exynos 2200
- RAM: 8GB
- Storan: 128/256 GB
- Kamera:
- Kamera utama: 50MP, f/18 OIS
- Kamera ultra-lebar: 12MP f/2.2
- Kamera telefoto: 8MP dengan zum 3x
- Kamera hadapan: 10MP, f/2.4
- Bateri: 4,500mAh
- Pengecasan: Berwayar USB-C – 25W
- Sistem operasi: Android 13 melalui antaramuka One UI 5.1
- Ketersambungan: 5G, Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.3
Reka bentuk luaran
Galaxy S23 FE hadir dengan rekaan yang konvensional tanpa sebarang gimik seperti skrin boleh lipat. Permukaan berkaca pada bahagian hadapan dan belakangnya diperkukuhkan dengan Corning Gorilla Glass 5 bersama-sama kerangka aluminium. Sebagai perbandingan, siri Galaxy S23 diperkukuhkan dengan Gorilla Glass Victus 2 dan Armor Aluminium yang lebih lasak.
Terdapat tiga kamera pada bahagian belakangnya yang memberikannya rupa yang amat mirip dengan Galaxy S23. Kemasan pada bahagian belakangnya yang berglos menaikkan seri reka bentuknya, namun memberikan kesan cap jari.
Skrinnya hadir dengan paparan Dynamic AMOLED 2X FHD+ 6.4-inci dan kadar penyegaran semula boleh ubah antara 120Hz dan 60Hz. Paparannya ini juga mempunyai bingkai yang agak tebal, justeru menampakkan rekaannya lebih cenderung dengan Galaxy A54 5G berbanding siri Galaxy S23.
Kecerahan puncak skrinnya, pada 1,450 nits tidak begitu tinggi seperti yang ditawarkan oleh Galaxy S23 pada 1,750 nits. Pun begitu, ia tidak begitu menggangu tontonan anda melainkan jika anda membawakannya di bawah pancaran matahari yang amat terik.
Kamera
Galaxy S23 FE didatangkan dengan kamera utama 50MP. Satu peningkatan daripada siri Galaxy S21 FE terdahulu yang menawarkan 12MP untuk kamera utamanya.
Bersama-sama dengannya disediakan juga dua lagi kamera di belakangnya iaitu kamera telefoto 8MP dengan zum optikal 3x dan kamera ultra-lebar 12MP.
Berdasarkan penggunaan unit ulasan Galaxy S23 FE sepanjang minggu ini, saya mendapati ia mampu mengambil foto dengan baik dalam keadaan terang mahupun kurang pencahayaan.
Cuma anda mungkin berasa sedikit mencabar untuk mengambil foto untuk subjek yang bergerak kerana menghasilkan imej kabur dengan gerakan. Untuk keadaan tersebut, penggunaan mod Single Take di dalam aplikasi Camera dapat membantu dalam sesetengah keadaan.
Gambar pada waktu siang memberikan hasil yang baik dengan perincian yang tinggi dan warna . Namun tidak sebaik Galaxy S23 Ultra atau Galaxy Z Fold. Foto-foto yang ditangkap akan disimpan pada 12 MP secara lalai, namun anda boleh mengubahkannya kepada 50MP untuk mendapatkan lebih perincian terutama untuk fotografi lanskap. HDR pula kadang-kadang jadi, dan kadang-kadang tidak berapa menjadi dan bergantung pada keadaan.
Kualiti fotografi di dalam kurang pencahayaan dan pada waktu malam juga agak bagus. Kameranya agak pintar untuk mengaktifkan mod Night secara automatik apabila diperlukan. Bagaimanapun mod Night ini kadangkala terlebih agresif dalam mengurangkan kesan hingar hingga menyebabkan subjek ‘dilicinkan’ dengan begitu ketara. Anda boleh menyahaktifkan mod automatik Night tersebut dengan mengetik pada ikon bulan bintang berwarna kuning di atas bahagian butang zum.
Kamera telefoto, kamera utama dan ultra-lebar
Kamera zum 3x pada Galaxy S23 FE ini juga menggalas tugasannya dengan baik untuk foto biasa mahupun untuk mod potret. Warna yang dihasilkan melaluinya kelihatan menarik dengan julat dinamiknya.
Cuma kejituan perinciannya yang agak kurang jika dibandingkan dengan foto menggunakan kamera utama. Hal ini terkait dengan perisian yang disediakan untuknya buat masa ini. Dijangkakan masalah ini mungkin dapat diselesaikan melalui kemaskini perisian baharu yang akan datang.
Seterusnya, melengkapkan trio ini, kamera ultra-lebar 12MP Galaxy S23 FE turut memberikan hasil yang baik untuk fotografi waktu siang. Bagi malam hari pula, ia memerlukan sokongan mod Night untuk meningkatkan mutu tangkapan imejnya.
Kualiti video agak konsisten pada ketiga-tiga kameranya dan seperti biasa, hasil yang terbaik datang dari kamera utamanya memandangkan ia boleh merakam video 4K pada kadar 60 bingkai per saat.
Kamera hadapan Galaxy S23 FE pula telah bertukar dari 32MP pada Galaxy S21 FE, kepada 10MP. Sungguhpun bilangan pikselnya nampak berkurangan, imej yang dihasilkannya pula tidak kelihatan berkurangan kualitinya. Ia berkeupayaan mengambil foto potret yang baik walaupun kadangkala pengesanan bucunya kelihatan sedikit ‘lari’.
Contoh Foto-Foto dan Video yang ditangkap menggunakan Galaxy S23 FE
Prestasi
Galaxy S23 FE untuk pasaran Malaysia menggunakan pemprosesan Samsung Exynos 2200, sama seperti kebanyakan pasaran lain di dunia. Hanya pasaran Amerika Syarikat sahaja yang menggunakan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 1.
Perkakasan
Kedua-dua pemprosesan berkenaan, Exynos 2200 dan Snapdragon 8 Gen 1 digunakan pada siri Galaxy S22 yang dilancarkan pada tahun lepas. Malaysia pada ketika itu menerima siri Galaxy S22 varian Snapdragon 8 Gen 1.
Selaku telefon pintar mercu, Samsung mengekalkan ketersambungan 5G pada pemprosesan ini melalui kedua-dua jalur sub-6 dan mmWave. Ia juga menyokong WiFi 6E, Bluetooth 5.2 dan NFC.
Turut disertakan bersama-sama perkakasannya, RAM 8GB dan storan pilihan 128GB atau 256GB. Tiada slot kad mikroSD disediakan untuk Galaxy S23 FE.
Prestasi Galaxy S23 FE varian Exynos 2200 didapati amat lancar dalam mengendalikan pelbagai aplikasi baik melayari laman web mahupun menyunting video menggunakan Capcut. Permainan mudah alih yang menawarkan tetapan kualiti grafik tinggi seperti PUBG Mobile dan Call Of Duty Mobile masih lagi boleh dicapai. Hal ini kerana Galaxy S23 FE mempunyai GPU Xclipse yang berasaskan senibina AMD RDNA 2 yang menyokong ciri ray tracing.
Bagaimanapun, untuk permainan seperti Genshin Impact, ia idak dapat dijalankan dalam tetapan grafik tinggi memandangkan keperluan sistemnya yang lebih baharu menetapkan perkakasan yang lebih terkini.
Berbanding Galaxy S21 FE yang pada saya agak lekas panas bagi kegunaan yang berat, Galaxy S23 FE setakat ini lebih cekap mengendalikan pelepasan haba daripada pemprosesannya. Ini kerana untuk model kali ini Samsung menyediakan kebuk pengewapan yang lebih besar bagi membolehkan Exynos 2200 dapat disejukkan dengan lebih baik.
Storan yang digunakan oleh Galaxy S23 FE menggunakan standard UFS 3.1, sedikit lama berbanding UFS 4.0 yang digunakan pada Galaxy S23. Pun begitu, perbezaan antara kedua-dua piawaian storan tersebut tidak begitu ketara di antara Galaxy S23 dengan S23 FE.
Perisian
Walaupun dilancarkan pada hari yang sama dengan hari Google melancarkan Android 14 secara rasmi, Galaxy S23 FE hadir menggunakan Android 13 melalui antaramuka One UI 5.1. Ia masih menawarkan sokongan yang kebiasaannya terdapat pada peranti andalan Samsung lain seperti DeX secara berwayar mahupun nirwayar.
Pun begitu, ia masih menjadi antara yang terawal menerima kemaskini Android 14 melalui One UI 6 kelak.
Samsung menjanjikan Galaxy S23 FE akan naik taraf sistem operasi sehingga empat kali dan kemaskini keselamatan selama lima tahun. Sokongan jangka panjang ini amat bermakna buat pengguna setia jenama untuk terus menggunakannya dalam tempoh yang lama.
Jangka hayat bateri
Kapasiti 4,500mAh untuk bateri Galaxy S23 FE semestinya bukanlah sesuatu yang luar biasa pada sesebuah telefon pintar keluaran terkini. Namun, ia memadai bagi penggunaan sehari suntuk bagi penggunaan yang pelbagai seperti melayari laman web, media sosial, sesekali mengambil foto, video dan sebagainya.
Telefon pintar ini menyokong pengecasan secara nirwayar, pengecasan berbalik dan juga pengecasan secara berwayar 25W. Telefon pintar ini mampu dicaskan dari kosong sehingga penuh dalam tempoh kurang dari 80 minit.
Harga Samsung Galaxy S23 FE di Malaysia
Bingkai yang agak lebar pada paparan sebelah hadapan Samsung Galaxy S23 FE mungkin tidak begitu digemari oleh sesetengah pihak. Namun, bagi anda yang tidak ambil kisah tentang saiz bingkai telefon pintar, banyak kelebihan pada Galaxy S23 FE ini yang sesuai dengan harga yang ditawarkannya.
Samsung Galaxy S23 FE telah pun mula dijual di pasaran Malaysia sejak dari Selasa lalu, 10 Oktober 2023. Ia didatangkan dengan pilihan storan 128GB dan 256GB bersama-sama RAM 8GB.
- Samsung Galaxy S23 FE (RAM 8GB, storan 128GB) – RM2,999
- Samsung Galaxy S23 FE (RAM 8GB, storan 256GB) – RM3,299
Bermula dari 10 Oktober sehingga 30 November ini, Samsung menawarkan Galaxy S23 FE dengan naik taraf storan dua kali ganda. Ini bermakna anda boleh mendapatkan pilihan konfigurasi storan 256GB pada harga RM2,999.
Maklumat lanjut mengenai Galaxy S23 FE, layari laman web rasmi Samsung Malaysia.