Menjelang pelancaran Samsung Galaxy S23 yang bakal berlangsung tidak lama lagi, semakin banyak desas-desus mengenainya diperkatakan. Antaranya, Galaxy S23, Galaxy S23+ dan Galaxy S23 Ultra dikatakan tidak akan menawarkan kapasiti storan 128GB, sebaliknya kapasiti paling kecil yang ditawarkannya adalah dari 256GB.
Lain-lain ciri yang akan ditawarkan oleh telefon pintar ini kelak kebanyakannya dianggap sebagai satu kelaziman. Dijangkakan Galaxy S23 akan menampilkan skrin Dynamic AMOLED 2x dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Cuma apa yang agak mengejutkan adalah pada model Galaxy S23 Ultra yang dijangka akan menampilkan skrin yang lebih rata dan bucu yang kurang membulat.
Sungguhpun dakwaan asal mengatakan skrin Galaxy S23 Ultra akan menampilkan skrin rata tanpa bucu melengkung, namun sesetengah pentiris maklumat tidak menolak kemungkinan bucu skrinnya masih lagi melengkung, cuma tidak begitu membulat seperti yang terdapat pada Galaxy S22 Ultra.
Secara praktikalnya, S Pen lebih selesa digunakan pada skrin yang rata. Namun untuk skrin yang melengkung, anda boleh mendapatkan selongsong (casing) ultra nipis yang bersisi rata jika cenderung menggunakan S Pen pada paparan yang rata.
Dijangkakan siri Galaxy S23 kelak akan hadir dengan spesifikasi lebih kurang seperti berikut:
- Samsung Galaxy S23 (8GB RAM, storan 256GB, skrin 6.1-inci FHD+ Dynamic AMOLED2x 48-120Hz)
- Samsung Galaxy S23+ – 8GB RAM, storan 256GB, skrin 6.6-inci FHD+ Dynamic AMOLED2x 48-120Hz
- Samsung Galaxy S23 Ultra – (12GB RAM, pilihan storan 256GB / 512GB / 1TB, skrin 6.8-inci QHD+ Dynamic AMOLED2x 1-120Hz)
Lain-lain spesifikasi yang dijangka akan hadir pada telefon pintar mercu keluaran Samsung ini termasuklah penggunaan cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 dan sensor kamera belakang 200MP. Laporan awal mengenai sensor berkenaan menjangkakan ia mampu memberikan pengalaman Nightography yang lebih memukau.













