Selepas lebih dari setengah tahun ia dilancarkan, Samsung Galaxy Ring telah muncul di dalam pangkalan data SIRIM dan menandakan ia akan dilancarkan ke pasaran Malaysia tidak lama lagi. Baru-baru ini Samsung telah mengesahkan peranti berkenaan akan tersedia di pasaran tempatan seawal bulan hadapan.
Menurut kenyataan media dalam taliannya, Samsung memaklumkan Galaxy Ring akan hadir ke 15 buah lagi pasaran termasuk Malaysia bermula Februari ini. Di hujung kenyataan tersebut dimaklumkan tarikh pelancaran bergantung pada di mana ia dipasarkan kelak.
Terdapat penambahan dua saiz baharu 14 dan 15 untuk Galaxy Ring, menjadikan terdapat 11 jenis saiz disediakan dari 5 sehingga 15. Saiz-saiz baharu ini akan diperkenalkan pada 22 Januari ini dan dijangka akan hadir bersama-sama apabila mendarat di Malaysia kelak.
Selain perluasan Galaxy Ring ke lebih banyak pasaran, aplikasi Samsung Health juga akan menerima kemaskini baharu untuk “menyediakan keupayaan kesihatan yang lebih diperibadikan dan komprehensif.” Ia merangkumi sejumlah penambahbaikan dari tidur yang lebih baik hinggalah ke waktu tidur optimum berdasarkan pola tidur pengguna.