Samsung Galaxy Note 8 dijangkakan tidak akan didedahkan sehingga sekitar penghujung tahun ini, namun desas-desus berkenaan peranti ini telah pun timbul di sesetengah portal. Paling mencuri tumpuan adalah pada sistem kameranya yang dikatakan bakal hadir dengan sistem dwi-kamera dan 3X zum optikal.

Khabar ini hadir dari The Korea Herald yang menyatakan Samsung dijangka akan “mengimplementasikan sistem dwi-kamera untuk telefon pintar flagship keluarannya, Galaxy Note 8,” Turut dimaklumkan berkenaan mengapa Samsung sebelum ini beriya-iya mahu memasukkan sistem dwi-kamera pada Galaxy S8, tetapi terpaksa melupakan hasrat tersebut memandangkan ia bakal melibatkan kos yang lebih tinggi.

Pada bulan lepas, penganalisis KGI Securities, Kuo Ming-Chi turut menyebut tentang perkara yang sama berkenaan keupayaan kamera Samsung Galaxy Note 8. Menurut Encik Kuo, Galaxy Note 8 akan hadir dengan sistem kamera 12MP + 13MP; dimana setiap lensanya hadir dengan panjang titik fokus yang berbeza – lebih kurang sama dengan sistem dwi-kamera yang digunakan pada iPhone 7 Plus.

Melalui penggunaan panjang titik fokus yang berbeza pada kedua-dua penderia kamera-kamera ini, Galaxy Note 8 diyakini mampu melakukan 3X zum optikal. Sebagai perbandingan, iPhone 7 Plus setakat ini hanya mampu melakukan 2X zum optikal. Selain itu, penstabil imej optikal turut disediakan pada kedua-dua lensa kamera berkenaan.

Jika khabar angin berkenaan benar-benar sahih, Samsung Galaxy Note 8 yang bakal hadir ini adalah lebih canggih dari Samsung Galaxy S8. Apa pun, hanya masa yang menentukan kebenaran khabar angin ini.

Sumber berita diperoleh dari The Korea Herald

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.