Samsung dilihat akan melancarkan dua buah peranti baharu di dalam siri Galaxy A menerusi Galaxy A05 dan A05s. Kedua-dua model telefon pintar berkenaan sering berlegar sebagai desas-desus di internet beberapa bulan kebelakangan ini. Namun dengan penyenaraian di badan-badan persijilan beberapa buah negara termasuk SIRIM Malaysia, menguatkan lagi kemungkinan tersebut.
Disenaraikan dengan nombor model masing-masing SM-A055F/DS dan SM-A057F/DS, Galaxy A05 dan A05s telah menerima persijilan dari SIRIM pada minggu lepas. Penyenaraian tersebut memberikan petunjuk ia akan dilancarkan di pasaran Malaysia dalam masa yang terdekat ini.
Tidak banyak maklumat mengenai spesifikasi telefon pintar keluaran Samsung baharu ini. Berdasarkan maklumat-maklumat yang didakwa tertiris sebelum ini, Galaxy A05 mungkin menggunakan pemprosesan MediaTek Helio G85 dengan RAM 4GB.
Ia juga akan menggunakan skrin paparan LCD beresolusi 1600Ă—720 piksel dan akan menggunakan antaramuka One UI 5 berasaskan Android 13.
Untuk Galaxy A05s pula, berdasarkan senarai di FCC pula menunjukkan ia akan hadir dengan satu cipset 4G yang menyokong Wi-Fi 5 dan Bluetooth 5.3 bersama-sama bateri 5,000mAh dan pengecasan 25W.
Setakat ini Samsung Malaysia masih belu m mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung siri Galaxy A05 ini.