Utama Perkakasan Samsung Samsung berjaya capai kelajuan 6.2 Gbps dalam ujian rangkaian 6G

Samsung berjaya capai kelajuan 6.2 Gbps dalam ujian rangkaian 6G

372
0

Belum pun rangkaian 5G bertapak kukuh di dalam pasaran pengguna umum, sebuah lagi pencapaian baharu dalam teknologi rangkaian telah berjaya diraih.

Rangkaian generasi berikutnya, 6G sedang dibangunkan buat masa ini dan Samsung kini telah mempertontonkan prototaip sistem 6G menerusi ujian over-the-air, menggunakan frekuensi terahertz (THz).

Seperti yang dijangkakan, kelebihan besar yang ada pada 6G adalah kadar data yang lebih pantas dan pendaman (latency) yang lebih rendah. Kadar data puncak dijangka mampu mencapai ke tahap 50 kali lebih pantas berbanding 5G dan menghampiri kadar terabits per saat.

Kadar pendaman pula dijangka mampu diturunkan sehingga ke 1 per 10 sahaja dari 5G. Justeru, memungkinkan kadar pemindahan data yang lebih tinggi seperti membawakan kandungan berkualiti resolusi 8K, VR dan video holografik.

Potensi sebenar 6G

Ketika ini, komunikasi rangkaian 5G dioperasikan pada frekuensi sehingga 40Hz, tetapi dengan melalui 6G ianya mampu dijulang melepasi 100Ghz. Seterusnya membuka potensi penggunaan jalur spektrum THz. Teknologi baharu ini juga akan meningkatkan lebar jalur, yang mana pada paras 400MHz melalui 5G.

Melalui ujian yang dijalankan oleh penyelidik dari Samsung dan University of California telah menguji sebuah sistem berfrekuensi 140GHz dengan lebar jalur 2GHz. Ketika melaksanakannya, kumpulan penyelidik berkenaan mampu memancarkan data pada 6.2Gbps di dalam jarak 15 meter.

Komponen-komponen yang digunakan untuk menjalankan pengujian rangkaian prototaip sistem rangkaian 6G berkenaan.

Ini merupakan peningkatan dari kelajuan 5G sebelum ini mencatatkan rekod pada 5.23Gbps. Bagaimanapun, ini masih lagi jauh dari keupayaan 6G yang sepatutnya mampu mencapai kadar pemindahan data sehingga 1Tbps, bersamaan 1,000Gbps.

Sistem yang digunakan untuk pengujian tersebut mengandungi sebuah pemancar phased array dengan 16 saluran, modul penerima, dan sebuah unit baseband yang memproses isyarat dan membantu menghalakan pancaran ke penerima.

Hasil keputusan pengujian baharu ini mungkin mengujakan, tetapi janganlah dibuang telefon 4G LTE anda terlalu awal. Ini kerana rangkaian 6G dijangka menemui pengguna paling cepat adalah pada 2030 nanti.

Sesi pengujian sistem rangkaian 6G oleh pasukan penyelidik ini dijalankan di Persidangan Antarabangsa IEEE mengenai Komunikasi 2021.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.