Format USB 3.2 secara teknikalnya boleh digunakan sejak dua tahun lepas. Namun, teknologi penyambungan yang mampu memindahkan data pada kelajuan 20Gbps ini hanya mampu disediakan untuk kegunaan umum secara meluas bermula pada tahun ini.
Badan penetapan piawaian USB-IF telah mendedahkan alat kawalan yang menyokong sambungan USB 3.2 bakal hadir dalam sekitar tahun ini. Komputer desktop disasarkan sebagai antara platform pertama yang mampu menyediakan sokongan melalui sambungan berkenaan.
Bagaimanapun, tidak semua papan induk komputer dan PC bakal menyediakan port USB 3.2 dalam masa yang terdekat dalam sebulan-dua ini. Pada kebiasaannya pengeluar-pengeluar papan induk komputer dan PC mengemaskini rekaan perkakasan masing-masing sekitar pertengahan tahun.
Pencapaian teknologi USB 3.2 ini merupakan satu kejayaan yang besar dalam teknologi penyambungan antara peranti kerana melaluinya dijangkakan lebih banyak peranti bakal menerima manfaat sambungan berkelajuan ultra-tinggi. Sebagai perbandingan, sambungan melalui Thunderbolt 3 mampu mencapai kelajuan sehingga 40Gbps. Namun, sambungan jenis ini amat sukar diketemukan serta teknologinya agak mahal dan hanya boleh disesuaikan sesama antara peranti-peranti Apple sahaja.
Sumber berita dari AnandTech