Apabila Microsoft menerbitkan kemaskini Windows 10 Mobile build 10536 khas untuk para pengguna Insider mereka, ia dijangka tidak akan menyebabkan kerosakan pada telefon pintar penggunanya. Bagaimanapun, perkara yang sebaliknya pula yang berlaku dan ia telah menyebabkan berlakunya kerosakan pada sesetengah peranti yang dipasangkan dengannya.
Kemaskini ini pada asalnya dikhaskan untuk peranti-peranti tertentu sahaja. Namun, berlaku kesilapan yang mengakibatkan peranti-peranti Windows 10 Mobile lain yang tidak berkenaan boleh memperoleh dan memasang kemaskini ini. Kini, pihak Microsoft sedang cuba memulihkan kembali keadaan.
Menurut pegawai yang bertanggungjawab terhadap program Microsoft Insider, Gabriel Aul, menyatakan bahawa tindakan mengemaskini pada peranti Windows 10 Mobile yang tidak disokong boleh merosakkan telefon pintar terbabit. Satu-satunya cara untuk memulihkannya adalah dengan melakukan flash untuk mengembalikannya ke tetapan asal dari kilang.
Bagaimanapun, kebanyakan pengguna tidak boleh melakukannya dan sehingga kini masih tiada lagi sebarang cara pulih ditawarkan oleh pihak Microsoft.
Menurut Microsoft, “Kami sedang mengusahakan pilihan-pilihan baikpulih untuk peranti-peranti tidak disokong berkenaan yang telah memasang kemaskini terbaru tersebut (We’re working on repair options for the devices that were not supported but got the latest build),”
Gabriel Aul turut menyatakan berkenaan isu ini di dalam Twitternya, ” Ini merupakan keutamaan kami untuk menyelesaikannya dan menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menyelesaikannya. Kami akan memaklumkan kepada anda sepantas mungkin sebaik sahaja mendapat info tentang cara memulihkannya (This is a high priority for us to solve and have a team dedicated to it. We will let you know as soon as we have info on recovery).”
Sumber berita diperoleh dari WM Poweruser