Tidak lama selepas melancarkan Redmi K60 Ultra, sub-jenama Xiaomi, Redmi kini dilihat akan melancarkan kesinambungan kepada siri K60. Ini berikutan penemuan model K70 Pro oleh Geekbench yang turut menemukan beberapa spesifikasi utamanya.
Dipetik oleh laman MySmartPrice, Geekbench memaparkan K70 Pro berkenaan menggunakan nombor model 23113RKC6C. Telefon pintar berkenaan juga ditunjukkan akan menggunakan pemprosesan MediaTek Dimensity 9200+, sama dengan yang digunakan oleh K60 Ultra.
Cipset berkenaan mencatatkan markah 1882 pada teras tunggal dan 4536 pada berbilang teras di dalam Geekbench. Selain itu, K70 Pro juga didapati menggunakan RAM 16GB dan menggunakan sistem operasi Android 13.
Memandangkan Redmi K70 Pro ini telah didapati diuji di dalam platform pengujian seperti Geekbench, Redmi dijangka mungkin akan melancarkan telefon pintar berkenaan dalam masa yang terdekat ini.