Utama Android Asus ASUS Zenfone 10 dilaporkan mungkin akan menjadi model terakhir di dalam siri...

ASUS Zenfone 10 dilaporkan mungkin akan menjadi model terakhir di dalam siri Zenfone

144
0

ASUS Zenfone 10 dilaporkan akan menjadi model terakhir di dalam siri telefon pintar bersaiz kompak ini, menurut penerbitan berpangkalan di Taiwan Finance Tech News.

Penamatan siri telefon pintar oleh ASUS ini dilaksanakan sebagai salah satu langkah penstrukturan semula. Laporan yang sama juga menyebut pada Jun lalu, ASUS telah membuat pengumuman peringkat dalaman kepada kakitangannya berhubung langkah tersebut.

Memo pada waktu itu juga memaklumkan tiada sebarang pemberhentian pekerja akan dilakukan. Namun, janji tersebut dilihat tidak dapat dikotakan kerana terdapat pemberhentian pekerja di bahagian komputer peribadi di Taiwan dan juga di Suzhou, China pada Julai lalu.

Memetik dari sumber dalaman, Finance Tech News menambah sekitar 50 peratus tenaga kerja akan dikurangkan tidak lama lagi melibatkan pasukan kejuruteraan dan perolehan.

Berbalik kepada siri Zenfone, dikatakan ASUS akan menamatkan siri Zenfone dan akan menyerapkan pasukan siri telefon pintar berkenaan dengan bahagian telefon pintar siri ROG. Ia dilaksanakan bagi menjadikan siri ROG sebagai tumpuan utama untuk bahagian telefon pintar ASUS bergerak ke hadapan.

Setakat ini ASUS masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkembangan tersebut.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.