Xiaomi secara rasminya telah melancarkan Redmi 14C yang berkesinambungan dari 13C keluaran tahun lepas. Telefon pintar ini didatangkan dengan rekaan serba baharu serta pemprosean lebih berkuasa, skrin yang lebih besar dan bateri yang lebih besar.
Redmi 14C ini dilengkapkan dengan paparan LCD 6.88-inci dengan resolusi 720p, kadar penyegaran semula 90Hz, dan kecerahan puncak 600 nits. Di dalamnya, telefon pintar berharga bajet ini turut membuat penampilan sulung pemprosesan MediaTek Helio H81, serta bergandingan dengan RAM 8GB dan storan dalaman 256GB. Ia juga mempunyai slot kad mikroSD untuk tujuan ruangan storan tambahan.
Dari segi pengimejannya pula, Redmi 14C memuatkan kamera utama 50MP, sebuah kamera sekunder dan sebuah kamera hadapan 13MP. Menguasakan telefon pintar peringkat pemula ini disediakan juga dengan bateri berkapasiti 5,160mAh yang menyokong pengecasan 18W. Selain itu, ia juga menggunakan antaramuka Xiaomi HyperOS yang berasaskan Android dan turut menyokong ketersambungan 4G, Bluetooth 5.4, NFC dan bicu audio 3.5mm.
Redmi 14C dijual pada harga CZK2,999 (~RM579) untuk konfigurasi paling kecil dan CZK3,699 (~RM715) untuk konfigurasi paling tinggi. Setakat ini tidak dapat dipastikan bilakah ia tersedia di Malaysia, namun dijangkakan ia akan hadir tidak lama lagi berdasarkan beberapa iklan acah yang dikongsikan oleh peniaga-peniaga tempatan.