Realme telah mengesahkan kehadiran tablet bersaiz kompak keluarannya, realme Pad Mini. Tablet ini akan dilancarkan di Malaysia bersama-sama realme 9 pada minggu depan.

Seperti namanya, tablet ini hadir dalam bentuk kompak dengan spesifikasi yang berbeza dengan tablet realme Pad yang dilancarkan pada tahun lepas. Realme Pad Mini hadir dengan paparan LCD IPS 8.7-inci beresolusi 1340 x 800 piksel.

Paparan hadapannya ini juga menyediakan satu kamera 5MP pada bahagian bingkainya. Tablet dengan sistem operasi Android 11 ini turut menyediakan satu port USB-C, bicu audio 3.5mm, dan pembesar suara stereo. Tiada fungsi imbasan cap jari disediakan oleh tablet ini dan ciri keselamatan biometriknya bergantung pada kaedah pengecaman wajah sahaja.

Tidak seperti model standardnya yang menggunakan MediaTek Helio G80, realme Pad Mini menggunakan Unisoc Tiger T616. Ia digandingkan dengan RAM 4GB dan storan UFS 2.1 sehingga 64GB. Turut disediakan satu slot kad mikroSD untuk ruangan storan tambahan.

Bateri yang digunakan oleh tablet ini berkapasiti 6,400mAh dengan sokongan pengecasan 18W. Tidak ketinggalan, satu kamera 8MP f/2.0 yang menyokong rakaman sehingga 1080p 30fps turut disediakan.

Seperti yang dinyatakan di awal tadi, realme Pad Mini akan diperkenalkan di Malaysia bersama-sama telefon pintar realme 9 pada minggu depan 20 April 2022. Terdahulu, tablet ini telah dilancarkan di pasaran Filipina dengan harga 9,990 Peso Filipina (~RM 810).

Tinggalkan komentar