realme telah mengesahkan pelancaran siri telefon pintar peringkat menengah baharunya realme 15 Series di Malaysia pada 18 September. Berkesinambungan dari realme 14 Series, telefon pintar ini akan memperkenalkan alatan kamera berkuasa AI dan juga sistem pencahayaan.
Antara yang diketengahkan, kapasiti bateri sebesar 7,000mAh yang menurut realme dimuatkan ke dalam casis telefon pintar berkenaan yang berketebalan 7.79mm dan berat 187 gram. Tambah realme lagi, siri ini merupakan paling nipis di kalangan telefon pintar dengan bateri 7,000mAh.
Siri telefon pintar ini menampilkan ciri pencahayaan baharu Pulse Light. Lampu berbentuk bulatan mengelilingi modul kamera di tengahnya ditunjukkan dengan pelbagai warna. Menurut kenyataan rasminya, lampu ini boleh diprogramkan untuk dinyalakan sebagai tanda notifikasi, panggilan, alarm atau ritma muzik. Ia juga boleh disegerakkan sebagai isyarat kiraan detik semasa sesi fotografi dan boleh digunakan dengan sistem Dual Flashlight telefon pintar berkenaan.
Secara rasmi telefon pintar ini dipromosikan sebagai “AI Party Phone”, ia membolehkan pengguna untuk menyunting imej dengan tangan dan juga dengan suara.
Reka bentuknya pula diketengahkan seperti aksesori fesyen melalui “Luxury Material Design”. realme 15 Series dilihat mempunyai rekaan unik bergantung pada pilihan warna dan boleh diubah mengikut sumber cahaya.
realme 15 Series akan dilancarkan pada 18 September 2025 dan boleh diikuti secara penstriman langsung di saluran rasmi realme di Facebook, TikTok dan YouTube pada jam 6 petang.