realme 14x secara rasminya kini di Malaysia sebagai telefon pintar paling mampu milik di dalam siri realme 14. Berkesinambungan dari 12x, telefon pintar baharu ini didatangkan dengan ciri lebih ketahanan dan prestasi pemprosesan. Berbeza dengan versi di India, kapasiti bateri dan pengecasan pantasnya masih lagi sama seperti modelnya yang terdahulu.
Telefon pintar baharu keluaran realme ini menampilkan paparan LCD 6.67-inci 720p dengan kadar penyegaran semula 120Hz dan kecerahan puncak 625 nits. Di dalamnya, realme 14x menggunakan pemprosesan MediaTek Dimensity 6300.
Dari segi ketahanan, ia mempunyai penarafan kerintangan debu dan air IP64, bersama-sama MIL-STD-810H untuk ketahanan jatuhan. Penarafan ini bagaimanapun lebih rendah berbanding versi India yang mempunyai penarafan IP69.
Fotografi telefon pintar bajet ini dilengkapkan dengan kamera utama 50MP, sensor berkedalaman dan juga kamera hadapan 8MP. Ia mempunyai bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan 15W. Untuk ketersambungannya pula, ia menyokong 5G, Wi-Fi 5, Bluetooth 5.3 dan NFC. Turut disediakan pengimbas cap jari pada sisi telefon pintar yang menggunakan antaramuka realme UI 5.0 berasaskan Android 14.
realme 14x dijual pada harga RM899 untuk konfigurasi RAM 8GB dan storan 128GB secara eksklusif melalui pelan pascabayar dari Maxis, Hotlink dan U Mobile. Dalam pada masa yang sama, konfigurasi RAM 8GB dan storan 256GB pula dijual pada harga RM1,099 menerusi TikTok Shop. Untuk pembelian menerusi pelan pascabayar CelcomDigi pula, ia mula dijual pada Februari ini.