ReadyBoost pertama kali hadir ke sistem operasi Windows Vista dan ia diwujudkan bagi membolehkan pengguna meningkatkan prestasi keseluruhan komputer melalui penggunaan media boleh-tanggal (removable media) seperti pendrive atau kad memori sebagai RAM tambahan. Tahap prestasi yang berjaya ditingkatkan melalui penggunaan ReadyBoost ini bagaimanapun bergantung dengan perkakasan komputer itu sendiri.
Untuk sesetengah keadaan, penggunaan fungsi ini dapat meningkatkan prestasi komputer terutamanya pada komputer-komputer lama yang mempunyai kapasiti RAM yang kecil. Komputer-komputer model lama sesetengahnya mempunyai memori sekecil 512 MB dan walaupun jumlah ini memadai untuk mengoperasikan sistem seperti Windows Vista dan Windows 7, kapasiti sekecil ini boleh menimbulkan masalah apabila ingin menjalankan aplikasi-aplikasi yang memerlukan penggunaan RAM yang agak besar seperti membuka Google Chrome atau Microsoft Excel.
Kenali ReadyBoost
ReadyBoost boleh berfungsi dengan peranti boleh-tanggal seperti pemacu USB atau kad flash untuk membantu melakukan tapisan-tapisan cache komputer. Cara mengaksesnya adalah dengan klik kanan pada peranti berkenaan dan pergi ke Properties. Selepas itu, satu tetingkap akan dibuka dan pergi ke tab ReadbyBoost.
Oleh kerana peranti boleh tanggal ini lebih pantas dalam melakukan tapisan-tapisan maklumat berbanding dengan perkakasan lain yang digunakan oleh komputer berkenaan, Windows dapat menggunakannya untuk menempatkan loop cache bagi meningkatkan kelajuan komputer.
ReadyBoost boleh digunakan sama ada secara sementara atau boleh digunakan selagi peranti berkenaan mampu menampung beban tugas yang diserahkan kepadanya.
Pengguna harus ingat bahawa penggunaan fungsi ini secara kerap dapat memendekkan jangka hayat pendrive atau kad memori yang digunakan sebagai RAM sementara tersebut. Ia berlaku akibat kekerapan pemindahan data di antara komputer dan peranti berkenaan yang terlalu tinggi. Apabila sampai hadnya, peranti berkenaan boleh rosak dan tidak dapat dibaiki.
Cara ReadyBoost berfungsi pada komputer
Apabila menggunakan ReadyBoost, Windows turut menggunakan bersama fungsi Superfetch. Pertama kali diperkenalkan pada Windows Vista, fungsi ini membolehkan komputer meletakkan maklumat pra-muat ke dalam RAM sebelum sesebuah program yang berkaitan dibuka.
Oleh kerana peranti boleh tanggal ini mampu membaca maklumat lebih pantas dari sesetengah perkakasan pada komputer, maklumat-maklumat komputer yang dipra-muat secara automatik ditempatkan padanya apabila ReadyBoost diaktifkan bersama-sama fungsi Superfetch. Justeru, memberikan ruang ekstra bagi RAM untuk melakukan tugasan-tugasan ingatan lain.
Keperluan menggunakan fungsi ReadyBoost
Peranti boleh-tanggal mungkin boleh melakukan baca dan tulis lebih pantas pada data. Namun, apabila untuk menyimpan data, RAM sememangnya lebih bagus. Oleh itu, jika komputer anda mempunyai RAM yang besar, fungsi ReadyBoost tidak mendatangkan sebarang apa-apa kesan terhadap prestasi komputer anda. Tambahan pula, bagi komputer yang mempunyai kapasiti memori yang besar tidak akan membenarkan fungsi ini diaktifkan.
Komputer-komputer yang di pasaran hari ini kebanyakannya mempunyai kapasiti RAM sekurang-kurang 2GB dan ke atas. Selalunya komputer-komputer lama je yang RAM dia kecik.
Fungsi ini sangat berguna bagi anda yang mempunyai komputer yang dah tak boleh nak upgrade lagi RAM sebab slot dah penuh atau pakai RAM yang jenis susah dah nak jumpa macam jenis DDR misalnya. Selagi komputer anda tu boleh diupgrade RAM nya, baik upgrade je sebab kalau nak dikirakan prestasi yang ditingkatkan dengan penggunaan ReadyBoost dengan tambah RAM, bezanya ibarat langit dengan bumi.