AMD melalui bahagian grafiknya, Radeon tidak meneruskan pembuatan cip grafik menggunakan teknologi 28 nm dan dikhabarkan akan memperbaharui teknik penghasilan cip melalui barisan grafik Radeon dengan senibina GPU Arctic Islands baru yang akan hadir pada tahun hadapan.
Menjelang tahun 2016, kesemua kad grafik AMD siri R9 400 akan dihasilkan menggunakan kaedah proses acuan FinFET 14nm dan 16nm. Berkemungkinan besar kad-kad grafik Fury turut akan dihasil menggunakan kaedah yang sama. Melalui teknologi yang terbaru ini, AMD dapat menghasilkan kad-kad grafik yang lebih berkuasa dan pada masa yang sama dapat menghidupkan kembali perlumbaan kad grafik yang buat sementara ini dikuasai oleh pesaing rapat AMD Radeon, Nvidia.
AMD sedang bekerjasama dengan dua pengeluar, GlobalFoundries dan TSMC untuk menghasilkan acuan 14 nm dan 16 nm ini.
Untuk acuan 14 nm, GlobalFoundries akan menghasilkan acuan untuk GPU 14LPE (Low Power/Extreme) dan 14LPP (Low Power Performance). Manakala TSMC pula, pihak yang berkenaan akan menghasilkan acuan untuk penghasilan 16FF (FinFET) dan 16FF+ (FinFET+).
Berkemungkinan besar, GPU flagship AMD akan datang yang menggunakan nama kod Greenland dijangka dihasilkan dengan proses acuan 16FF+. GPU berkenaan juga akan dibina berasaskan HBM2 yang dihasilkan oleh AMD dan senibina GCN (Graphics Core Next) generasi ketiga.
Terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa GPU yang menggunakan nama kod Greenland dari AMD ini bakal dibina dengan kekuatan 18 billion transistor, 32 GB memori HBM2 berserta lebar jalur memori 1TB/s.
-Sumber berita diperoleh dari WCCFTech













