Ketika sesi pembentangan Belanjawan 2024, turut diumumkan pemberian diskaun untuk pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Perincian lanjut mengenainya pada waktu itu tidak dinyatakan.
Kini menurut laporan dari akhbar The Star, terdapat tiga kategori pilihan diskaun untuk para peminjam PTPTN iaitu:
- Diskaun 10% atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman
- Diskaun 10% untuk bayaran sekurang-kurangnya 50% daripada baki hutang dalam sekali bayaran
- Diskaun 15% untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual
Para peminjaum perlu menjalani beberapa prosedur untuk mendapatkan diskaun tersebut. Untuk pilihan 1 dan pilihan 2, para peminjam perlu memohon mendapatkan maklumat baki pinjaman. Ia boleh dibuat menerusi laman web PTPTN, aplikasi myPTPTN atau menghubungi pegawai PTPTN.
Anda yang merancang untuk membuat pembayaran semula pinjaman melalui potongan gaji atau debit terus boleh memohon menerusi platform yang dinyatakan. Sebaik sahaja permohonan anda diluluskan, diskaun 15% berkenaan secara automatik akan dimasukkan ke dalam jumlah pinjaman anda. Tawaran diskaun ini boleh dimohon bermula sekarang sehingga 31 Mac 2024.