Utama Android Poco POCO F5 Pro dilancarkan di Malaysia; Dilengkapkan dengan Snapdragon 8+ Gen 1,...

POCO F5 Pro dilancarkan di Malaysia; Dilengkapkan dengan Snapdragon 8+ Gen 1, Berharga dari RM1,999

718
0

Jika anda sedang dalam usaha mendapatkan telefon pintar mercu pada harga yang berbaloi, POCO F5 Pro mungkin jawapan untuk pencarian anda. Boleh didapati pada harga bawah RM2,000 bersempena promosi jualan pembukaannya, POCO F5 Pro dilengkapkan dengan Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1.

Melalui kapasiti baterinya yang lebih besar, telefon pintar ini juga menjadi model pertama keluaran POCO yang menyokong pengecasan nirwayar. Selain itu, ia juga mempunyai resolusi skrin yang lebih besar iaitu QuadHD+.

Harga POCO F5 Pro di Malaysia

Telefon pintar ini hadir dengan tiga pilihan konfigurasi dengan harga seperti berikut:

  • Poco F5 Pro RAM 8GB + storan 256GB – RM2,099
  • Poco F5 Pro RAM 12GB + storan 256GB – RM2,199
  • Poco F5 Pro RAM 12GB + storan 512GB – RM2,399

Anda boleh mendapatkannya dengan pilihan warna hitam dan putih secara dalam talian menerusi kedai rasmi POCO di platform Lazada. POCO juga menawarkan harga pembeli terawal bermula dari 9 Mei dan anda berpeluang menerima potongan harga RM100 untuk pilihan storan 256GB dan potongan harga RM200 untuk model storan 512GB.

Ini bermakna, Poco F5 Pro RAM 8GB RAM + storan 256GB storage boleh didapati pada harga RM1,999 manakala RAM 12GB + storan 256GB pula boleh didapati pada harga RM2,099. Untuk pilihan konfigurasi RAM 12GB + storan 512GB pula, harganya boleh didapati pada RM2,199 untuk pembeli terawal.

Spesifikasi POCO F5 Pro

POCO F5 Pro secara asasnya adalah model Redmi K60 yang diberikan nafas baharu dengan beberapa perbezaan. Ia menampilkan skrin AMOLED 6.67-inci WQHD+ (3200×1440) dengan kadar penyegaran semula 120Hz dan kadar pensampelan sentuhan sehingga 480Hz.

Skrinnya juga mempunyai nisbah kontras 5,000,000:1, kecerahan puncak 1400 nits, pemalapan PWM 1920Hz dan dillindungi oleh Corning Gorilla Glass 5.

Melalui penggunaan pemprosesan Snapdragon 8+ Gen 1 4nm, telefon pintar ini digandingkan dengan RAM LPDDR5 12GB dan storan UFS 3.1 512GB.

Untuk fotografinya pula, terdapat tri-kamera pada bahagian belakangnya yang mengandungi kamera utama 64MP f/1.79 dengan sokongan OIS dan rakaman video 8K. Ia juga hadir dengan kamera ultra-lebar 8MP dan satu kamera makro 2MP. Pada sebelah hadapan pula disediakan sebuah kamera 16MP di bahagian berpenebuk lubangnya.

Sebagaimana yang dijangkakan dari telefon pintar bertaraf mercu, POCO F5 Pro juga mempunyai sepasang pembesar suara, pemancar infra-merah, sokongan 5G, 802.11ax WiFi 6 dan Bluetooth 5.3.

Telefon pintar dengan penarafan kerintangan air dan debu IP53 ini mempunyai bateri berkapasiti 5,160mAH yang juga menyokong pengecasan pantas berwayar 67W melalui USB-C. Apa yang penting, sebuah pengecas 67W juga disediakan di dalam kotak pembungkusannya.

Buat julung kalinya, POCO menjadikan POCO F5 Pro sebagai telefon pintar pertama yang menyokong pengecasan nirwayar sehingga 30W. Ia mampu mengecas dari sifar hingga ke separuh kapasiti dalam tempoh 32 minit secara nirwayar.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.