Utama Automotif Perodua akan memperkenalkan EV Konsep EMO-II di KLIMS 2024 minggu ini

Perodua akan memperkenalkan EV Konsep EMO-II di KLIMS 2024 minggu ini

111
0

Perodua telah mengumumkan akan mempertontonkan kenderaan elektrik (EV) konsep Gerakan Elektrik Dalam Talian (Electric Motion Online, EMO) di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (Kuala Lumpur International Mobility Show, KLIMS 2024) yang berlangsung pada minggu ini.

Dikenali sebagai EMO-II, prototaip ini akan menampilkan rekaan serba baharu yang berbeza dengan model EMO-I yang berasaskan Myvi pada 2021.

Berdasarkan video acah yang dikongsikan di halaman Youtube dan Facebook rasmi Perodua, EV EMO-II kelihatan mirip dengan prototaip miniatur yang dipamerkan pada Malaysia Autoshow tahun lepas. Konsep yang diperbaharui ini juga menampilkan rekaan yang kelihatan lebih sporty dengan bar lampu berkelebaran penuh dan logo Perodua yang bercahaya di depannya.

Spesifikasi EMO-II masih lagi belum diumumkan. Sebelum ini prototaip emo-1 dipertontonkan dengan menggunakan motor segerak magnet kekal tiga fasa yang berkeupayaan 68PS dan tork 220 Nm. Ia membolehkannya mencapai pecutan dari sifar ke 100km/j dalam tempoh tujuh hingga sembilan saat. EV berkenaan juga menggunakan bateri lithium-ion 55.7 kWj yang menawarkan jarak 350km serta menyokong pengecasan AC 11kW dan DC 50kW.

Perodua sebelum ini mendedahkan akan melancarkan EV pertamanya sekitar 2025 dan dijangka berharga di bawah RM100,000. Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada rekabentuk atau spesikasinya berdasarkan EMO-II.

Dalam pada masa yang sama, Perodua menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Petronas dan Gentari pada minggu lepas. Usahasama ini membolehkan Petronas menyediakan fasiliti pengecasan pusat servis pengeluar kenderaan untuk menyokong peralihan penggguna ke kenderaan elektrik sepenuhnya.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.