Maybank Islamic dan Perodua secara bersama telah memperkenalkan pelan pembiayaan kenderaan pantas patuh syariah yang direka menawarkan lebih fleksibiliti dan ketercapaian untuk pelanggan. Dikenali sebagai Perodua Flexiplan dan dikuasakan oleh Maybank Islamic MyImpact Drive Financing-i, skim ini merupakan kerjasama pertama antara kedua-dua syarikat.

Pembiayaan ini berasaskan tawaran pembiayaan kenderaan murabahah bertempoh yang sangat kompetitif, dengan bayaran bulanan lebih berpatutan untuk tempoh lima tahun pertama. Di penghujung tempoh, pelanggan boleh memilih untuk menukar ganti kenderaan dengan model Perodua baharu, bersama-sama tawaran pembelian semula oleh pihak syarikat pada harga pasaran kompetitif. Dalam pada masa yang sama, pengguna boleh memilih mengekalkan kenderaan sedia ada di bawah pelan pembayaran semakan semula untuk sehingga tambahan empat tahun lagi.

Menurut Pengerusi dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, Flexiplan ini ditawarkan untuk empat model iaitu:

  • Myvi
  • Axia (kecuali Axia E)
  • Ativa
  • Aruz

Kerjasama ini turut memperkenalkan penawaran patuh Syariah lain seperti perlindungan takaful komprehensif Perodua Total Protect Plus oleh Etiqa. Penawaran ini merangkumi perlindungan bencana khas RM5,000 dan juga Takaful Perlindungan Baki Pinjaman.

Kedua-dua syarikat menyatakan inisiatif ini bertujuan mewujudkan persetujuan menang-menang dengan kesemua pihak, menjadikan pemilikan kenderaan lebih mudah disamping menawarkan pelanggan menyesuaikan kenderaan mengikut peringkat hidup. Pelan ini juga dilihat sebagai penanda aras baharu untuk lanskap pembiayaan automotif di Malaysia.

Tinggalkan komentar