HONOR telah melancarkan Magic 7 Pro pada Oktober dan mula menemui pengguna pada November tahun lalu. Kini terdapat ura-ura baharu dari China berkenaan model baharu siri berkenaan.
Magic 8 Pro dikatakan akan menggunakan pemprosesan Qualcomm yang akan datang, yang mungkin akan dinamakan sebagai Snapdragon 8 Elite 2. Ia juga akan mempunyai sistem tri-kamera yang terdiri daripada kamera utama 50MP, kamera ultra-lebar 50MP, dan kamera berperiskop 200MP.
Di atas kerta, tetapannya lebih kurang sama seperti keluaran tahun lepas kecuali kamera utamanya dijangka akan dipertingkatkan. Tidak dapat dipastikan jika terdapat sebarang perubahan perkakasan memandangkan ia mempunyai saiz sensor yang sama 1/1.3″ seperti Magic 7 Pro.
Apa pun, Magic 8 Pro dijangka akan menampilkan ciri-ciri penting seperti “transisi bingkai yang lancar”, “sintesis super bingkai”, kelajuan memfokus yang dipertingkatkan, julat dinamik dioptimasikan, dan penggunaan tenaga yang rendah untuk keseluruhan fungsi kameranya.
Dijangkakan lebih banyak maklumat mengenai telefon pintar mercu HONOR keluaran yang akan datang ini menjelang tarikh pelancarannya yang dijadualkan berlangsung pada sekitar bulan Oktober ini.