Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa telah memberikan perincian lebih lanjut mengenai Program PerantiSiswa. Program ini akan menyediakan tablet percuma kepada pelajar-pelajar B40 yang sedang mengikuti pengajian di institut pengajian tinggi.

Program PerantiSiswa telah diumumkan ketika sesi pembentangan Belanjawan 2022 dan akan dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Permohonan PerantiSiswa akan mula dibuka bermula dari Pertengahan April

Menurut Tan Sri Annuar Musa, pelajar yang layak boleh menghantar permohonan secara dalam talian bermula pertengahan April ini. Penghantaran tablet berkenaan pula dijangkakan bermula pada awal Jun.

Beliau menambah, fasa kedua pengagihan pula akan bermula dua bulan kemudian, iaitu pada Ogos. Pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Pengajian Tinggi juga akan memperkenalkan platform dalam talian bagi memudahkan permohonan PerantiSiswa dilakukan. Proses rayuan juga akan disediakan bagi mengelakkan pelajar-pelajar yang benar-benar layak terlepas dari bantuan tersebut.

Keperluan spesifikasi perkakasan minimum bagi tablet PerantiSiswa

Menteri berkenaan turut menyatakan tablet PerantiSiswa yang disediakan setanding atau lebih baik dari apa yang ditawarkan di pasaran. Beliau menekankan pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan soal kualiti peranti yang digunakan bagi membantu pelajar mengikuti pengajian.

Menerusi sidang media tersebut, beliau berkongsikan keperluan perkakasan minimum peranti tersebut seperti saiz skrin minimum 10.1-inci, dan dilengkapkan dengan papan kekunci dan stylus. Turut dinyatakan, peranti berkenaan perlu sekurang-kurangnya mempunyai RAM 4GB.

Peranti berkenaan juga bukan sekadar tablet biasa, dan ia merupakan peranti yang boleh digunakan secara harian di institusi-institusi pelajar berkenaan. Beliau turut memaklumkan proses perolehan tablet ini akan dijalankan secara telus dan teliti.

Jika terdapat sebarang lebihan unit, pihak Kementerian mencadangkan untuk menetapkan 10% dari unit berkenaan untuk digunakan bagi kes-kes khas tertentu. Antaranya membabitkan pelajar berpendapatan rendah yang bukan mengikuti diploma atau ijazah. Ini merangkumi pelajar pasca-siswazah atau Ph.D yang tidak mampu memiliki peranti.

Ketika inisiatif PerantiSiswa diumumkan pada tahun lepas, Kementerian Kewangan telah memperuntukkan belanja sebanyak RM450 juta untuk perolehan tablet bagi kegunaan pelajar-pelajar B40 yang sedang mengikuti pengajian di institut pengajian tinggi. Program ini disasarkan dapat memanfaatkan lebih 600,000 pelajar.

Tinggalkan komentar