Utama Teknologi Pencipta Kandungan Kreatif Digital diraikan bersempena Kre8tif! 2022

Pencipta Kandungan Kreatif Digital diraikan bersempena Kre8tif! 2022

561
0
Kre8tif-Awards-MDEC-2022

CYBERJAYA, 10 November 2022 – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital Malaysia di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), mengumumkan pemenang untuk tiga pertandingan kandungan kreatif digital, iaitu Anugerah Kre8tif! Asia Tenggara, Cabaran Pencipta Kandungan Digital (DC3) dan Anugerah DigiCon6 ASIA ke-24 sempena acara Kre8tif! 2022.

Pertandingan tersebut menjadi platform untuk mencari dan mengenal pasti bakat pencipta kandungan digital sambil menyokong mereka dengan bantuan, promosi serta memberi pengiktirafan kepada karya kandungan digital kreatif mereka. 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Ts. Mahadhir Aziz, menyatakan kekaguman terhadap kualiti kandungan digital kreatif serta bakat yang ada dalam industri dan perlu diiktiraf serta diraikan pencapaian, dedikasi serta usaha cemerlang mereka sebagai sumber inspirasi kepada pencipta kandungan digital seterusnya.

“MDEC mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan kita akan berusaha untuk terus memangkin pertumbuhan industri ini khususnya dalam meningkatkan lagi nilai keseluruhan ekosistem, selaras dengan Malaysia Digital (MD),” tambah Mahadhir.

“Industri kreatif digital telah dikenal pasti sebagai salah satu pemacu utama ekonomi pasca pandemik di Asia Tenggara. Ini adalah hasil daripada pendigitalan pesat, peningkatan generasi milenial dan pengguna Gen-Z yang lebih menghargai pengalaman dan hiburan, serta permintaan yang semakin besar untuk kandungan digital di peringkat global,” katanya lagi.

Anugerah Kre8tif! Asia Tenggara anjuran MDEC dengan kerjasama 17 negara dan wilayah Asia Tenggara menerima lebih daripada 100 penyertaan animasi pendek, bermatlamat memberi pengiktirafan dan mengetengahkan keupayaan serta kredibiliti animasi cemerlang bukan sahaja yang dihasilkan oleh studio tempatan malah di seluruh Asia Tenggara.

Manakala, Cabaran Pencipta Kandungan Digital (DC3), yang dahulunya dikenali sebagai Cabaran Pencipta Harta Intelek (IPCC), menyediakan platform kepada bakat tempatan mengasah kreativiti dan mempercepatkan pembangunan kandungan digital kreatif kerana ia adalah program berasaskan pertandingan yang direka untuk membantu pencipta kandungan membangun dan menghasilkan kandungan digital berkualiti tinggi serta meningkatkan penciptaan Harta Intelek (IP) di Malaysia.

Pemenang DC3 2022 menerima hadiah wang tunai untuk membangunkan kandungan kreatif digital yang dicadangkan oleh mereka dan menerima sokongan daripada pakar dalam industri melalui program mentor. MDEC telah membiayai sebanyak 360 projek dan telah mengeluarkan sejumlah RM15.3 juta hadiah wang tunai sejak DC3 bermula pada 2006.

Anugerah ASIA DigiCon6 pula dianjurkan oleh Tokyo Broadcasting System Holdings, Inc. (TBS), merupakan pertandingan kandungan digital tahunan di Asia yang mengalu-alukan penyertaan dari seluruh Asia, dengan pertandingan serantau dianjurkan oleh rakan kongsi serantau. Pemenang-pemenang dalam setiap pertandingan serantau layak untuk bersaing dalam Anugerah Grand Prix (kemuncak).

Sebagai rakan kongsi serantau, MDEC telah menganjurkan Anugerah ASIA DigiCon6 di Malaysia untuk mengenal pasti dan menyokong bakat kreatif yang berpotensi selama 15 tahun. Ia adalah platform yang sesuai bagi bakat kreatif Malaysia untuk belajar dengan negara lain serta panel juri dan menjalinkan rangkaian serta pertukaran idea. Pemenang Pingat Emas di Malaysia akan menerima penajaan produksi cagaran pemasaran, pengangkutan dan penginapan bagi seorang wakil untuk menghadiri majlis Anugerah DigiCon6 ASIA ke-24 di Tokyo oleh TBS. 

MDEC menerusi Kre8tif!, akan terus memacu pertumbuhan industri kandungan kreatif digital Malaysia dan menjadikan negara sebagai peneraju kandungan kreatif digital serantau. Melalui bakat yang diiktiraf, infrastruktur serta geran dan inisiatif kerajaan yang konsisten, sektor kandungan kreatif digital bukan sahaja akan mengaut keuntungan tetapi juga memperkasa pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.

Layari  https://mdec.my/kre8tif2022/ untuk maklumat lanjut.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.