Parti Islam SeMalaysia (PAS) pada hari ini telah melancarkan aplikasi super (superapp) MyOnePas. Aplikasi tersebut menawarkan pelbagai ciri berkaitan parti tersebut seperti keahlian, sumbangan dan lain-lain aktiviti.
Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan selain dari e-tunai, lain-lain ciri yang disediakan di dalam aplikasi tersebut merangkumi waktu solat dan petunjuk arah kiblat.
““Aplikasi ini boleh digunakan oleh semua, bukan ahli sahaja dan mereka juga berpeluang untuk mendapat kad fizikal MyOnePas Mastercard, yang berfungsi seperti kad debit dengan menyediakan fungsi e-dompet sepenuhnya,” ujar beliau di dalam sidang media selepas melancarkan MyOnePas Super App sempena Muktamar Pas Ke-69 di Ideal Convention Center (IDCC) hari ini.
Ahli-ahli PAS juga boleh membuat sumbangan secara bulanan melalui aplikasi tersebut. Tambah beliau lagi, aplikasi berkenaan menyediakan pelbagai kaedah bayaran termasuk kad fizikal yang diperkuatkan dengan penjenamaan bersama Mastercard serta kad debit dan e-tunai.
Aplikasi ini juga menerima kolaborasi dengan MPay dan Mastercard yang membolehkan penggunaannya di dalam negara mahupun di luar negara.
Buat masa ini, aplikasi MyOnePas hanya boleh dimuat turun sebagai fail APK untuk peranti Android menerusi laman web rasmi parti tersebut. Untuk iPhone, Setiausaha Agung PAS berkenaan menyatakan ia kini sedang dibangunkan.
Beliau turut menyatakan PAS kini sedang menyiapkan proses permohonan dan integrasi menjelang 24 November tahun ini.
Berhubung had transaksi, fungsi e-tunai aplikasi berkenaan membenarkan transaksi sehingga RM25,000. Manakala had Mastercard pula sehingga RM10,000.











