OPPO sering memperkenalkan telefon pintar yang mempunyai gaya yang menarik pada harga mampu milik telah memperkenalkan OPPO A3, sebuah model yang mengetengahkan ciri tahan lasak pada harga bajet.
Baru-baru ini kami berkesempatan untuk melihat dengan lebih dekat ciri-ciri ketahanannya yang merangkumi kerintangannya terhadap air dan juga mampu bertahan apabila dijatuhkan. Malah, ia juga mempunyai sokongan membuat salinan kad NFC untuk kemudahan anda.
Di dalam kotaknya, OPPO A3 didatangkan bersama-sama bekas pelindung, palam pengecas 45W, kabel USB-C, pin penolak SIM dan seperti biasa, helaian dokumentasi. Melalui model ini juga ia menampilkan rekaan yang menarik seperti lazimnya.
Isi Kandungan
Rekabentuk dan paparan
@harianteknologi OPPO A3, telefon pintar berharga bajet RM699 yang kental. ✅ Kalis air dan debu IP54 ✅ Skrin tahan jatuh (Panda Glass) ✅ Support NFC #OPPO #OPPOA3 📽️ Video disediakan oleh @mohdnoobi
♬ GTA San Andreas Theme (Remake) – Ben Morfitt (SquidPhysics)
OPPO A3 dibina dengan mengutamakan ciri tahan lasaknya dalam kegunaan harian. Melalui teknologi Splash Touch dan Multiple Liquid Resistance, ia dapat bertahan jika terkena air. Misalnya jika anda tertumpahkan air minuman padanya, anda boleh membilaskannya dengan air paip dan terus menggunakannya seperti biasa.
Melalui persijilan MIL-STD 810H dan SGS Standard, OPPO A3 boleh dikirakan sebagai antara telefon pintar yang paling lasak bagi kategori harganya untuk tahan jatuh. Ia mampu bertahan untuk terjatuh dari ketinggian sehingga 1.6 meter atau jika dilenyek kenderaan.
Sungguhpun hadir dengan ciri-ciri tahan lasaknya, OPPO A3 juga menampilkan rekaan yang kemas dan bergaya. Rekaannya yang nipis dan ringan juga menjadikan ia mudah untuk dipegang. Skrin dengan kaca rintang retakan yang disediakan pada paparannya juga memberikan perlindungan tambahan.
Paparannya ini merupakan skrin LCD 6.67-inci dengan tahap kecerahan puncak 1,000 nits dan juga kadar penyegaran semula skrin 90Hz.
Prestasi dan Kamera
OPPO A3 dikuasakan oleh Snapdragon 6s Gen 1 4G, pemprosesan peringkat menengah yang mampu melaksanakan tugas-tugas harian dengan baik. Pemprosesan ini bukanlah jenis yang paling berkuasa di dalam pasaran, namun ia boleh memainkan permainan mudah alih pada tetapan grafik rendah disamping mempunyai tahap kecekapan tenaga yang baik.
Telefon pintar yang menggunakan antaramuka ColorOS 14 berasaskan Android 14 ini juga menawarkan RAM 6GB dan pilihan storan 128GB dan 256GB.
Terdapat sebuah kamera pada bahagian belakangnya yang merupakan kamera utama 50MP bersama-sama sensor cahaya bagi meningkatkan kawalan dedahan (exposure) untuk fungsi kameranya. Juga disediakan sebuah kamera hadapan 5MP.
Kualiti kameranya ini dikirakan sebagai memuaskan sahaja dan sesuai dengan harga yang ditawarkannya. OPPO A3 juga tidak didatangkan dengan mod portret dan ia sesuatu yang wajar memandang itu bukanlah kekuatan utamanya.
Bateri dan ciri-ciri lain
Kapasiti baterinya besar sedikit berbanding kebanyakan telefon pintar lain di pasaran pada 5,100mAh. Ia juga mempunyai sokongan pengecasan pantas 45W SUPERVOOC untuk membantu anda mengecas dalam waktu yang singkat.
Turut disediakan Ultra Volume Mode yang membantu anda mendengar panggilan atau kandungan di dalam telefon pintar tersebut di tempat yang bising seperti di tengah-tengah hiruk-pikuk kebingitan kota raya.
Kesimpulan
OPPO A3 merupakan telefon pintar berharga bajet yang kental dengan keteguhannya serta ketahanan baterinya. Binaannya yang tegap serta rintang air dan debu menjadikan ia telefon pintar yang sesuai bagi kegunaan harian.
Anda boleh mendapatkan OPPO A3 dengan dua pilihan konfigurasi iaitu:
- Oppo A3 8GB / 128GB: RM699
- Oppo A3 8GB / 256GB: RM799
Didatangkan dengan pilihan warna Starlight White dan Sparkle Black, hanya konfigurasi 128GB sahaja yang tersedia di pasaran Malaysia setakat artikel ini ditulis. Untuk pilihan konfigurasi 256GB pula, ia akan diumumkan kemudian.
Maklumat lanjut, layari laman web rasmi OPPO Malaysia.