Utama Komputer Nvidia dedahkan GTX 1080 Ti (RM3,109), kad grafik GeForce GTX paling berkuasa

Nvidia dedahkan GTX 1080 Ti (RM3,109), kad grafik GeForce GTX paling berkuasa

868
0

Nvidia telah mengumumkan kehadiran kad grafik GeForce GTX paling berkuasa setakat ini, GTX 1080 Ti. Kad grafik ini telah didedahkan sewaktu Persidangan Pembangun-Pembangun Permainan 2017 (Game Developers Conference, GDC 2017).

Spesifikasi yang ditawarkan oleh kad grafik ini sangat tinggi dan hampir menyamai spesifikasi yang ditawarkan oleh kad grafik berasaskan Pascal, Titan X. Menariknya, Nvidia mendakwa GTX 1080 Ti  adalah 35 peratus lebih pantas berbanding GTX 1080. Serta, ia juga lebih pantas dari Titan X apabila digunakan untuk permainan video.

Berikut adalah spesifikasi GTX 1080 Ti:

  • Kiraan Teras Cuda: 3,584
  • Unit Pemetaan Tekstur (Texture Mapping Units, TMUs): 224
  • Unit Keluaran Render (Render Output Units, ROPs): 88
  • Kelajuan klok asas: 1480MHz
  • Kelajuan klok dipertingkatkan: 1582MHz
  • Kelajuan klok memori: 10008MHz
  • Kapasiti VRAM: 11GB
  • Lebar Bas Memori: 352-bit
  • TDP: 250W

Sama seperti kad grafik berasaskan Pascal sebelum ini seperti Titan X dan GTX 1080, GTX 1080 Ti hadir bersama-sama pengawal memori GDDR5X. Perbezaan di antara kad grafik GTX 1080 Ti dengan Titan X adalah pada ROP, kelajuan asas dan yang dipertingkatkan, kapasiti VRAM, saiz bas memori dan TDP.

Ia juga dilengkapi dengan unit pemprosesan grafik Pascal yang terbaik, GP102. Oleh yang demikian, ia boleh digunakan untuk memainkan permainan komputer pada resolusi melepasi 4K. Juga, Nvidia menyatakan kad grafik ini mampu memainkan permainan komputer seperti Watch Dogs 2 dan Deus Ex: Mankind Divided pada resolusi 5K.

Dijangkakan, kad grafik ini dijual pada harga $699 (bersamaan RM3,109) dan akan tiba di pasaran bermula minggu hadapan.

Sumber berita diperoleh dari ArsTechnica

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.